Malu kampung kotor, bukan malu kerana vest ‘monyet’ – Shafie

SEMPORNA: Individu yang membuang sampah merata di daerah ini tidak sepatutnya malu dihukum memakai vest tertera perkataan dan gambar monyet akibat perbuatan mereka sendiri, kata Ketua Menteri Sabah, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal.

Sebaliknya Mohd Shafie yang juga Ahli Parlimen Semporna berkata, masyarakat sepatutnya berasa lebih malu jika kampung atau tempat tinggal mereka kotor dan menjadi perhatian umum.

“Kita tidak malu apabila (orang luar) mengatakan kampung kita kotor, tetapi apabila kena pakai jaket (vest) berasa malu pula. Ini masalahnya,” katanya kepada pemberita selepas Majlis Perjumpaan Penjawat Awam dan Ketua Adat Daerah Semporna di sini, hari ini.

Yang turut hadir, Timbalan Ketua Menteri merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan negeri, Datuk Jaujan Sambakong dan Pegawai Daerah Semporna, Bianus Kontong.

Beliau mengulas mengenai langkah Majlis Daerah Semporna (MDS) menghukum individu yang membuang sampah sesuka hati dengan memakai vest tertera perkataan dan gambar monyet sambil mengutip sampah.

Khamis lalu, NSTP melaporkan, seramai 12 individu dikenakan denda oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai vest tertulis perkataan ‘monyet’ selepas didapati membuang sampah sesuka hati.

Sejak dilaksanakan pada 1 Januari sehingga Khamis lalu, seramai 31 orang termasuk seorang pelancong wanita didapati membuang sampah merata tempat di pekan daerah ini dengan 19 membayar kompaun RM30 hingga RM500, manakala 12 gagal menjelaskan bayaran dan dikenakan hukuman memakai ves hijau tertulis perkataan ‘monyet’.

Hukuman itu mendapat reaksi berbeza beberapa pihak termasuk ada yang menyifatkan ia seolah-olah merendahkan martabat individu kerana menyamakannya dengan haiwan

Mengulas lanjut, Mohd Shafie berkata, beliau menyerahkan sepenuhnya tindakan dan hukuman pemakaian vest itu kepada MDS.

“Jika dengan cara itu (memakai vest) dilihat mampu mengubah sikap mereka (orang ramai) dan memberi kesan terhadap kebersihan di daerah ini, maka ambil (tindakan) kerana apa yang penting kepada kita adalah perubahan,” katanya.

Sementara itu, Bianus berkata, walaupun hukuman pemakaian vest itu mendapat pelbagai reaksi daripada beberapa pihak, MDS tetap meneruskan pelaksanaan hukuman itu yang dilakukan menerusi Ops Payung Bersepadu dengan kerjasama agensi berkaitan lain. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *