Ibu budak dijadikan tebusan nafi kenal suspek

KEADAAN Nortissya Abdullah yang kini mendapatkan rawatan di Hospital Wanita dan Kanak-kanak, Likas. – ihsan Herna Hasim

KOTA KINABALU: “Saya tidak kenal dan tidak pernah jumpa lelaki itu,” tegas Herna Hasim, 27, ibu kepada Nortissya Abdullah, kanak-kanak berusia dua tahun yang dijadikan tebusan oleh seorang lelaki di sebuah rumah di tingkat empat, Taman Telipok Ria di Tuaran, semalam.

Kenyataan Herna itu sekali gus menafikan spekulasi yang tular di media sosial sejak semalam kononnya suspek adalah bekas suaminya, selain ada portal berita melaporkan kononnya ia berpunca akibat perebutan penjagaan hak anak serta dendam.

Herna berkata, dia ada melihat suspek memegang Nortissya sambil mengacukan pisau di leher dan merayu supaya lelaki itu melepaskan anaknya.

“Ada yang kata, lelaki itu bekas suami saya dan kejadian itu disebabkan dendam hak penjagaan. Tetapi saya tidak kenal dan tak pernah jumpa. Saya tiada kaitan langsung dengan lelaki itu,” katanya kepada NSTP ketika mengulas mengenai dakwaan kononnya suspek adalah bekas suaminya.

Mengulas lanjut, Herna berkata, suspek yang mati ditembak oleh pasukan polis itu bukan tinggal di kawasan Telipok Ria.

“Bagaimana lelaki itu dikatakan bekas suami saya padahal melihatnya pun tak pernah. Ini semua karut, saya tiada kena mengena dengan suspek,” katanya.

Sementara itu, Herna memberitahu, keadaan anaknya kini stabil dan masih dirawat di Hospital Wanita dan Kanak-Kanak Sabah di Likas, untuk pemantauan.

“Dia sudah boleh bercakap dan tengah malam tadi dia meminta air kerana haus. Tetapi pagi tadi, ketika luka di lehernya dibersihkan, dia mengadu sakit,” katanya.

Dalam kejadian semalam, suspek lelaki berusia 30-an melarikan mangsa yang sedang bermain di tingkat empat berhampiran rumahnya mangsa lalu menjadikan kanak-kanak itu sebagai tebusan di sebuah rumah di aras sama.

Selepas beberapa jam berunding, suspek enggan menyerahkan mangsa dan beberapa kali mengacah-acah untuk mencampakkan kanak-kanak itu dari bahagian dapur rumah di tingkat empat berkenaan sebelum ditembak mati oleh anggota polis.

Mangsa yang cedera di leher kemudian dikejarkan ke hospital untuk rawatan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *