Dua kesan tembakan di dinding, lantai

KASMAN membersihkan dimana tempat suspek ditembak mati dalam kejadian kanak-kanak berusia dua tahun dijadikan sebagai tebusan di Taman Telipok Ria, semalam. -NSTP/Khairull Azry Bidin

TUARAN: Keadaan rumah di tingkat empat, Taman Telipok Ria, di sini, yang dijadikan lokasi persembunyian suspek dengan menjadikan kanak-kanak perempuan berusia dua tahun sebagai tebusan, petang semalam, kini sudah dibersihkan.

Tinjauan pagi tadi mendapati penghuni rumah masih membersihkan sisi kotoran di dalam rumah mereka, selain masih terdapat dua kesan tembakan di bahagian dinding dan lantai.

Penghuni rumah berkenaan, Kasman Rahim, 25, berkata sejak malam tadi, sebaik polis selesai menjalankan siasatan, mereka sekeluarga menjalankan gotong-royong membersihkan rumah.

“Keadaan bilik bertabur manakala di bahagian dapur masih ada darah. Kami mengambil masa sejam untuk membersihkannya dengan bantuan jiran.

“Ada beberapa kerosakan di bahagian pintu, selain gelas pecah. Beras untuk bekalan kami dibuang oleh suspek,” katanya ketika ditemui di lokasi kejadian, hari ini.

Kasman berkata, ketika kejadian, bapa dan seorang lagi kakaknya berada di rumah manakala dia ada urusan di luar.

“Bapa saya ada beritahu supaya suspek tidak perlu berbuat demikian (mencederakan mangsa) kerana kasihan kepada kanak-kanak yang dijadikan tebusan. Tetapi dia tidak menghiraukan dan meminta supaya tidak mendekatinya,” katanya.

Sementara itu, penduduk di tingkat tiga, Marsilyn Abdul Musa, 24, berkata dia masih trauma dengan kejadian itu dan tidak dapat tidur dengan tenang.

“Selepas kejadian itu, kami sekeluarga berjaga sehingga pagi di luar rumah kerana tidak dapat tidur selain masih terbayang tindakan lelaki itu menjadikan mangsa sebagai tebusan. Rata-rata penghuni di sini berjaga sehingga lewat malam dan ada juga sehingga pagi,” katanya.

Mengenai kejadian itu, Marsilyn berkata, dia sedang tidur sebelum terjaga apabila terdengar jeritan ibu mangsa.

“Saya ingatkan ada orang bergaduh lalu bergegas ke tingkat empat dan terkejut apabila dimaklumkan anak sepupu saya dijadikan tebusan oleh seorang lelaki. Saya sempat merakamkan gambar suspek sambil beberapa penghuni merayu supaya melepaskan kanak-kanak itu.

“Suspek terus memegang kanak-kanak itu sambil meletakkan pisau di leher dan masuk ke dalam tandas,” katanya sambil menambah beberapa jiran mengambil langkah berjaga-jaga dengan menyediakan dua tilam di bahagian bawah rumah kerana bimbang suspek mencampakkan kanak-kanak itu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *