Ditahan kerana memiliki ‘buku lima’

Gambar Facebook Polis Kota Kinabalu

KOTA KINABALU: Seramai 17 individu termasuk 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu, semalam.

Dalam operasi selama 10 jam yang berakhir jam 2.30 pagi itu, polis turut menahan tiga penagih dan seorang disyaki pengedar dadah.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu, Asisten Komisioner Habibi Majinji, berkata operasi dijalankan dengan kerjasama pelbagai agensi antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Angkatan Pertahanan Awam Malaysia (APM), Jabatan Sukarelawan Malaysia (RELA) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

Katanya, sepanjang operasi ini, polis memeriksa 72 individu berusia empat hingga 45 tahun di enam lokasi iaitu pusat bandar raya, Sembulan, Likas, Tanjung Aru, Inanam dan Telipok.

“Daripada 17 yang diperiksa, 13 individu ditahan tanpa pengenalan diri yang sah, tiga positif dadah hasil ujian air kencing manakala seorang lagi memiliki 24 paket dadah jenis syabu serta memiliki senjata berbahaya iaitu `buku lima’.

“Operasi bersepadu yang kedua diadakan pada tahun ini menumpukan beberapa lokasi dikenal pasti mempunyai kadar pertumbuhan PATI yang tinggi,” katanya dalam kenyataan, semalam.

Tangkapan disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63, Seksyen 15(1)(a) ADB dan Seksyen 12(2) ADB 1952 serta Seksyen 6 Akta Bahan Kakisan, Letupan & Senjata Berbahaya 1958. – Berita Harian

Gambar Facebook Polis Kota Kinabalu
Gambar Facebook Polis Kota Kinabalu
SERAMAI 17 individu termasuk 13 pendatang asing tanpa izin (PATI) ditahan dalam Operasi Cegah Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu. – ihsan Polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *