Usaha Dokumentasikan Pekerja Asing Perlu Diteruskan – Shafie Apdal

Kita kena tahu tentang tenaga kerja asing yang diperlukan industri, jadi kita mahu pastikan dokumen mereka direkodkan, kata Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal.

KENINGAU: Agensi dan kementerian berkaitan diharap akan meneruskan usaha dokumentasi dan pengumpulan data pekerja asing dalam pelbagai sektor di Sabah.

Ketua Menteri Datuk Seri Panglima Haji Mohd Shafie Apdal berkata, data itu amat penting supaya tenaga kerja asing yang berada di Sabah dapat didokumentasikan secara betul bagi memudahkan kerajaan memiliki data yang tepat tentang jumlah sebenar pekerja asing di negeri ini.

”Niat kita mendokumentasikan pekerja asing ini supaya kita mengetahui berapa banyak pekerja asing yang bekerja di sini (Sabah). Kita kena ada data supaya kita tidak ketandusan tenaga kerja asing.

”Kita kena tahu tentang tenaga kerja asing yang diperlukan industri. Jadi kita mahu pastikan dokumen mereka direkodkan.

Ketua Mneteri melawat kilang papan lapis Focus Lumber Berhad di Keningau pada Jumaat.

”Kita bukan mahu memberikan Kad Pengenalan (IC). Ini yang orang salah tafsir bila kita dokumentasikan pekerja asing, mereka ingat kita (kerajaan) bagi IC kepada pekerja asing. Dokumen ini bukan IC,” katanya ketika ditanya tentang Program Dokumentasikan Pekerja Asing.

Beliau berkata demikian ketika Lawatan Kerja ke Keningau, di sini pada Jumaat. Antara beberapa tempat yang dilawati ialah Focus Lumber Berhad, sebuah syarikat yang mengeluarkan papan lapis untuk di export.

Menurutnya, apabila pekerja asing didokumentasikan, ia akan memudahkan proses pemantauan dan kawal selia mereka.

Atas sebab itu, beliau meminta Kementerian Perindustrian mengumpulkan data mengenai keperluan tenaga kerja dalam pelbagai industri di Sabah.

Mohd Shafie berkata, dalam industri yang melibatkan kerja berat, tidak ramai anak tempatan yang sanggup bekerja dalam industri itu. Maka, industri terpaksa mengunapakai tenaga kerja asing.

”Macam mana mahu mendapatkan pekerja jika kita asyik mendengar cerita orang tentang Pendatang Tanpa Izin (PTI) dan masalah IC.

”Oleh itu, kita kena bertindak secara bijak dan tidak boleh terlalu emosional dalam mentadbir negara dan ekonomi,” ujarnya. – BorneoToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *