Hukuman pakai vest tertulis ‘monyet’ ekstrem

GAMBAR fail, pesalah yang gagal membayar kompaun dikenakan denda mengutip sampah sambil memakai vest hijau tertulis perkataan monyet. – Foto ihsan Pembaca


KOTA KINABALU: Pemakaian vest bertulis `monyet’ terhadap individu yang didapati membuang sampah merata-rata di Semporna dianggap hukuman yang ekstrem.

Timbalan Ketua Menteri yang juga Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong, turut mempersoalkan undang-undang atau peraturan digunakan bagi membolehkan penggunaan perkataan ‘monyet’ pada vest berkenaan dan dipakai individu yang didenda kerana membuang sampah sesuka hati.

“Kita faham dan boleh menerima jika individu yang membuang sampah mungkin dihukum dengan dikenakan denda melakukan kerja amal mengutip sampah. Hukuman denda saja tidak salah, tetapi saya tidak faham kenapa perlu menggunakan vest dengan perkataan monyet.

“Bukankah ini dianggap terlalu ekstrem? Kita tahu ini adalah tindakan drastik yang dibuat disebabkan masalah sampah di daerah berkenaan, tetapi pemakaian vest dengan perkataan monyet tidak difahami dan tidak dapat diterima,” katanya ketika dihubungi hari ini.

Dalam pada itu, Jaujan memuji tindakan dan pendekatan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK) dalam memastikan kebersihan di Kampung Sembulan, beberapa tahun lalu.

“Saya melihat Sembulan tidak lagi kotor seperti dahulu…. mungkin pendekatan seperti itu boleh dibuat,” katanya.

Mengenai kesan positif hukuman itu terhadap isu kebersihan di Semporna, Jaujan berkata, objektif hukuman denda memang baik untuk kebersihan tetapi pemakaian vest dengan perkataan monyet adalah satu `taktik mengejutkan’ yang boleh menjatuhkan air muka individu terbabit.

Khamis lalu akhbar melaporkan, seramai 12 individu dikenakan denda oleh Majlis Daerah Semporna (MDS) dengan melakukan kerja amal mengutip sampah sambil memakai vest tertulis perkataan ‘monyet’ selepas didapati membuang sampah sesuka hati.

Sejak dilaksanakan pada 1 Januari sehingga Khamis lalu, seramai 31 orang termasuk seorang pelancong wanita didapati membuang sampah merata tempat di pekan daerah ini dengan 19 membayar kompaun RM30 hingga RM500 manakala 12 gagal menjelaskan bayaran dan dikenakan hukuman memakai ves hijau tertulis perkataan ‘monyet’.

Hukuman itu mendapat reaksi berbeza beberapa pihak termasuk ada yang menyifatkan ia seolah-olah merendahkan martabat individu kerana menyamakannya dengan haiwan. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *