Budak perempuan 2 tahun jadi tebusan

Suspek mendukung kanak-kanak tersebut sambil mengacukan pisau kelehernya. Gambar media sosial

KOTA KINABALU : Kanak-kanak perempuan berusia dua tahun dijadikan tebusan oleh seorang lelaki dengan diacukan pisau di tingkat 4, Taman Telipok Ria, Tuaran, Kota Kinabalu.

Polis sudah mengepung rumah terbabit dan dalam usaha memujuk suspek supaya melepaskan kanak-kanak berkenaan.

Difahamkan, lelaki itu bersembunyi di dalam tandas di rumah berkenaan.

Kejadian bermula pada kira-kira jam 12 tengah hari tadi apabila lelaki dianggarkan berusia 30-an dikatakan melarikan mangsa.

Lelaki yang tidak dikenali oleh penghuni itu membawa kanak-kanak terbabit di sebuah rumah di tingkat 4, berdekatan rumah ibu bapa mangsa.

Tinjauan di lokasi kejadian mendapati sepasukan polis dari Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Tuaran berada di lokasi bersama sepasukan anggota dari D9 Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Sabah.

Turut berada di lokasi ialah sepasukan anggota bomba.

Beberapa penghuni turut menyediakan tilam di tingkat bawah bagi menghadapi sebarang kemungkinan. – Harian Metro

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *