81 rumah, 2 kuarters guru musnah terbakar di karakit, Pulau Banggi

68 buah rumah termasuk kuarters guru musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi. – Foto Ihsan Bomba

KUDAT: Sebanyak 81 rumah termasuk dua kuarters guru musnah dalam kebakaran di Kampung Perpaduan Karakit, Pulau Banggi, dekat sini, hari ini.

Kejadian kira-kira jam 3 petang itu menyebabkan kira-kira 250 penghuni tinggal sehelai sepinggang, namun tiada mangsa dilaporkan cedera.

Ia insiden kebakaran besar yang berlaku hanya tiga hari selepas kebakaran memusnahkan 55 rumah di Kampung Pasir Putih, Putatan.

Jurucakap Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sabah, berkata seramai 16 anggota bomba dikejar ke lokasi pada jam 4.17 petang.

“Pasukan bomba terpaksa mendapatkan bantuan daripada Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (Maritim Malaysia) untuk ke Pulau Banggi dengan menaiki dua bot agensi itu.

“Perjalanan mengambil masa selama kira-kira sejam setengah sebelum tiba di lokasi pada jam 6 petang dan sebaik tiba, kebakaran membabitkan keluasan 0.8 hektar,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Katanya, hasil pemeriksaan mendapati kebakaran turut membabitkan kuarters guru yang terletak di kampung itu.

“Sebanyak 68 rumah termasuk kuarters Sekolah Kebangsaan (SK) Karakit dan sebuah kenderaan Toyota Vigo musnah dalam kebakaran ini,” katanya.

Difahamkan, usaha memadamkan sepenuhnya kebakaran masih dilakukan setakat jam 7 malam ini. Bagaimanapun api sudah terkawal sejak jam 6 petang. – Berita Harian

Foto Ihsan Pembaca
Foto Ihsan Pembaca
Foto Ihsan Pembaca

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *