Tiga sekeluarga ditemui dalam beg pakaian

Condori (kiri) bersama isteri dan anak.

SAO PAULO : Polis Brazil semalam memulakan penyiasatan kes pembunuhan kejam sepasang suami isteri rakyat Bolivia dan anak lelaki mereka berusia 8 tahun selepas menemui bahagian tubuh kesemua mangsa dalam sebuah beg pakaian di pinggir Sao Paulo.

Menurut pihak berkuasa, anggota badan Jesus Reynaldo Condori, 39, isterinya Irma Morante Sanizo, 38 dan anak lelaki mereka, Abner Morante Condori ditemui lewat Selasa lalu.

Polis dalam satu kenyataan kepada laman web berita G1 memberitahu, kesemua anggota tubuh mangsa diletakkan dalam plastik sebelum disumbat dalam tiga beg pakaian dan ditemui di bilik air rumah keluarga malang itu yang terletak di Itaquaquecetuba.

Pihak berkuasa sebelum itu dikerahkan ke tempat kejadian selepas menerima maklumat berhubung satu kes penculikan, susulan kehilangan keluarga berkenaan pada 23 Disember lalu.

Suspek utama kejadian adalah abang ipar salah seorang mangsa yang diupah bekerja dengan kedai pakaian milik keluarga terbabit.

“Pemilik rumah tempat mayat kesemua mangsa ditemui berkata, beliau menyewakan kediaman itu kepada seorang lelaki yang masih belum dapat dikesan sehingga kini.

“Dia ialah suami kepada kakak salah seorang mangsa,” kata setiausaha keselamatan negeri Sao Paulo dalam satu kenyataan.

Motif pembunuhan kejam itu masih belum diketahui. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *