1,335 pekerja syarikat kendali loji air diserap ke JANS

Menteri Pembangunan Infratruktur negeri Sabah, Datuk Peter Anthony.

KOTA KINABALU: Kementerian Pembangunan Infrastruktur negeri memberi jaminan semua 1,335 pekerja enam syarikat yang mengendalikan loji air di Sabah, dikekalkan walaupun kontrak syarikat itu dihentikan.

Menterinya, Datuk Peter Anthony, berkata semua pekerja terbabit akan diserapkan ke Jabatan Air Negeri Sabah (JANS) tanpa perlu memohon atau menghadiri temu duga.

“Ini kes istimewa, mereka akan diserapkan ke dalam JANS menerusi Jabatan Perkhidmatan Awam (JPA) negeri secara terus walaupun syarikat tempat mereka bekerja akan ditamatkan (kontrak) pada 15 Januari ini.

“Sehubungan itu, saya minta semua pekerja di 58 loji air berkenaan tidak terpedaya dengan khabar angin di media sosial menyatakan mereka akan kehilangan kerja sejurus penamatan kontrak syarikat,” katanya kepada media di sini, malam tadi.

Peter berkata, JANS telah mengeluarkan surat pekeliling berhubung pengekalan semua pekerja terbabit, namun surat kepada semua kakitangan memerlukan sedikit masa kerana membabitkan jumlah yang ramai.

“Pekerja ini yang mempunyai sebarang kemusykilan boleh menghubungi hotline JANS di talian 088-326888 atau datang terus ke pejabat JANS,” katanya.

Pada 21 Disember lalu, Peter mengumumkan penamatan kontrak enam syarikat yang mengendalikan 58 loji air di seluruh negeri.

Peter dilaporkan berkata, kerajaan negeri boleh menjimatkan lebih RM1 bilion susulan penamatan kontrak terbabit kerana ketika ini perlu membayar RM15 juta sebulan bagi tempoh 20 tahun berdasarkan perjanjian yang dimeterai kerajaan terdahulu. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *