Hidup mati bersama

Hasyim dan Dewi – Foto Tribun Medan

JAKARTA: Seorang lelaki menembak mati kekasihnya sebelum membunuh diri, dengan mayat kedua-duanya ditemui bogel serta berlumuran darah dalam bilik hotel kerana kecewa pertunangan mereka dibatalkan selepas hubungan tidak mendapat restu ibu bapa wanita berkenaan.

Dalam kejadian di Kota Kisaran, Asahan, Sumatra Utara, kelmarin itu, pekerja hotel menemui mayat pasangan berkenaan selepas curiga apabila mereka gagal mendaftar keluar selepas waktu ditetapkan, lapor Tribunnews.

Ketua Polis Asahan, Faisal Napitupulu berkata, pasangan itu dikenal pasti sebagai Hasyim Prasetya, 33, dan Dewi Istiana, 23.

“Mereka masuk ke Hotel Central pada hari Ahad sekitar jam 10.30 pagi (waktu tempatan) sebelum ditemui mati keesokannya pada jam 12 tengah hari. Hasyim terlebih dulu menembak belakang kepala Dewi lalu menembak kepalanya sendiri.

“Senjata yang digunakan Hasyim untuk menembak Dewi dan dirinya sendiri adalah pistol yang menggunakan peluru 5.56 milimeter,” katanya.

Menurutnya, berdasarkan pesanan ringkas menerusi WhatsApp antara Hasyim dan Dewi, lelaki itu kecewa selepas pertunangan mereka dibatalkan.

Sementara itu, sumber berkata Dewi dan Hasyim sudah lama bercinta, namun hubungan itu tidak direstui keluarga wanita berkenaan, malah dia ditunangkan dengan orang lain. – Agensi

Keadaan sepasang kekasih ketika ditemui di bilik Hotel Central, Kirasan

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *