Sabah catat peningkatan kes denggi tahun lalu

KOTA KINABALU: Sabah mencatatkan peningkatan kes denggi sebanyak 863 kes pada tahun lalu.

PENGARAH Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi.

Pengarah Kesihatan negeri, Datuk Dr Christina Rundi, berkata secara keseluruhan sebanyak 3,423 kes denggi direkodkan pada tahun 2018 berbanding 2,560 kes, pada 2017.

Katanya, daripada 3,423 kes terbabit, 29 kes membabitkan kematian.

“Tahun lalu, empat daerah teratas (tertinggi kes denggi) adalah Tawau, Kota Kinabalu, Sandakan dan Lahad Datu.

“Tawau mencatatkan 771 kes, diikuti Kota Kinabalu sebanyak 735 kes, manakala Sandakan dan Lahad Datu masing-masing 409 dan 335 kes, tahun lalu,” katanya ketika dihubungi, hari ini.

Christina berkata, denggi adalah penyakit virus yang disebarkan oleh nyamuk betina, terutama spesies Aedes Aegypti.

Jangkitannya sama seperti selsema dan kadang-kadang memberi komplikasi serta mengancam nyawa sehingga membawa kepada kematian.

Tiada rawatan khusus untuk penyakit ini namun sekiranya dapat dikesan lebih awal dan mendapat rawatan perubatan ia akan dapat mengurangkan komplikasi. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *