Dua beradik berkongsi satu pakaian seragam

BONGAWAN: Dua beradik di daerah ini terpaksa berkongsi sepasang pakaian seragam sekolah yang sudah lusuh untuk meneruskan sesi persekolahan pada tahun ini.

Berikutan kekangan kewangan, dua beradik daripada enam bersaudara dari Kampung Nyaris-Nyaris itu terpaksa berganti-ganti menggunakan pakaian seragam memandangkan mereka sama-sama bersekolah pada sesi pagi.

Begitulah kehidupan seharian yang dilalui Shamil Hairi Ramadan, 11, dan adiknya Mohd Ardika Ramadan, 10, sejak tiga tahun lepas.

Guru Kokurikulum Sekolah Kebangasaan (SK) Nyaris-Nyaris Jamaa Muhamad berkata, dua beradik itu dijaga oleh nenek mereka yang turut bertanggungjawab terhadap tiga lagi adik kecil berumur 3 hingga 9 tahun.

Malah katanya, adik perempuan mereka, Soleha Ramadan, 9, yang kini berada di Tahun Tiga sekolah sama juga mengalami kesusahan serupa dengan hanya mengenakan seragam lama yang lusuh dan sempit.

“Pada mulanya, kami hairan mengapa Shamil dan Ardika sering tidak hadir ke sekolah dan peliknya ia berlaku secara bergantian iaitu jika hari ini Shamil hadir, nescaya Ardika tidak dan begitu juga sebaliknya.

“Setelah disiasat, hancur luluh hati kami apabila mengetahui bahawa mereka berdua terpaksa bergilir menggunakan seragam dan kasut sekolah sama yang sudah lusuh kerana tidak mampu membeli seragam baharu.

“Peristiwa itu menyebabkan kami berusaha membantu anak-anak ini dengan sedikit bantuan barangan persekolahan,” katanya ketika ditemui dalam Program Jejak Asnaf anjuran Pertubuhan Suara Anak Muda Sabah (Suara) Zon Pedalaman Bawah, di sini.

Jamaa berkata, kadangkala ketiga-tiga beradik itu tidak hadir ke sekolah sehingga berbulan lamanya kerana menjaga adik kecil mereka sekiranya nenek mereka keluar berniaga kuih di beberapa tempat.

“Saya difahamkan, nenek mereka akan membawa Ardika dan Soleha bersama bagi membantu beliau berjualan di pasar tamu yang perginya awal pagi dan pulangnya lewat petang, semata-mata mencari sesuap nasi untuk menyara cucu-cucunya.

“Sementara, Shamil bertanggungjawab menjaga dua adik kecilnya di rumah yang masing-masing berusia empat dan dua tahun ketika ini,” katanya yang tidak tahu secara tepat lokasi jualan warga emas terbabit.

Sementara itu, nenek kanak-kanak terbabit, Kamsiah Matasan, 72, yang ditemui di rumahnya di Kampung Nyaris-Nyaris di sini, meluahkan kesedihan mengenai nasib semua cucunya jika suatu hari nanti beliau meninggal dunia.

Menurutnya, sudah tentu hidup anak-anak tidak berdosa itu menderita memandangkan ibu bapa mereka sudah lama berpisah hingga menyebabkan beliau terpaksa mengambil alih tanggungjawab menyara cucu-cucunya.

“Ibu mereka seorang warga Indonesia yang sudah lama pulang ke kampungnya dan tidak dapat kembali disebabkan masalah dokumen, manakala suaminya iaitu anak saya menetap di Kota Kinabalu.

“Anak saya tidak dapat membantu kerana tidak mempunyai pekerjaan tetap, malah perbelanjaan sekolah anak-anak juga tidak mampu disediakannya menyebabkan cucu saya sering tidak hadir ke sekolah.

“Pendapatan saya kira-kira RM500 sebulan hasil jualan kuih dan bantuan kebajikan RM350 sebulan hanya cukup menampung makan minum kami,” katanya yang turut mempunyai dua anak lelaki yang masing-masing sudah berkeluarga.

Sehubungan itu, beliau berharap kerajaan dapat menyediakan rumah baharu di bawah Projek Perumahan Rakyat Termiskin (PPRT) termasuk bantuan peralatan membuat kuih kepada beliau.

Katanya, ia perlu memandangkan kondisi keseluruhan rumah usang peninggalan keluarga yang diduduki bersama cucu-cucunya ketika ini sudah rosak khususnya di bahagian atap dan lantai rumah.

“Saya berharap kerajaan prihatin terhadap keperluan kami ini dan dapat menyalurkan bantuan segera demi kepentingan anak-anak yang tidak mempunyai tempat berteduh selain rumah ini,” katanya.

Pada program itu, Pengerusi Suara Zon Pedalaman Bawah Rozley Suhaili menyampaikan sedikit sumbangan wang tunai kepada Kamsiah dan berjanji akan membuat kunjungan susulan dalam masa terdekat.

Dalam kunjungan bersama Unit Pemimpin Pembangunan Masyarakat (UPPM) Bongawan diketuai Pegawai Pembangunan Masyarakat Richard Manuel itu, pihak UPPM turut merekodkan data peribadi kanak-kanak terbabit bagi tujuan permohonan bantuan kerajaan.

Richard yang mewakili Adun Bongawan Dr Daud Yusuf berkata, pihaknya akan memaklumkan kepada Daud dan bantuan susulan kepada keluarga itu. – UTUSAN BORNEO

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *