Alasan ambil syabu untuk kurus


KOTA KINABALU: Ambil syabu untuk kuruskan badan. Itu alasan seorang ibu anak empat dalam pengakuannya yang dibacakan pegawai pemulihan Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) di Mahkamah Majistret, hari ini.

Chua Soo Ting dan suami, Ong Teck Huat ketika ditemui di Mahkamah Majistret Kota Kinabalu. – Foto Malai Rosmah Tuah

Tertuduh turut mengaku membelanjakan sehingga RM600 untuk mengambil dadah setiap bulan sejak tiga tahun lalu.

Bagaimanapun, alasan itu gagal ‘memperdayakan’ Majistret Afiq Agoes yang kemudian mengarahkan tertuduh, Chua Soo Ting, 42, diletakkan di bawah pengawasan AADK selama dua tahun.

Selain itu, tertuduh turut diperintahkan menjalani program pemulihan penagih dan melapor diri ke AADK daerah ini dua kali sebulan selama tempoh itu.

Selain Soo Ting, suami tertuduh, Ong Teck Huat, 43, yang dibicarakan di mahkamah sama turut diarahkan menjalani hukuman sama.

Menurut keterangan kes, Soo Ting ditahan AADK bersama suaminya selepas kedua-duanya didapati positif dadah dalam serbuan di rumah mereka di Inanam, pada 4 Disember lalu.

Kedua-dua tertuduh didakwa mengikut Seksyen 6(1)(b) Akta penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 pindaan 1998.

Sekiranya gagal mematuhi syarat yang dikenakan, mereka boleh dikenakan hukuman mengikut Seksyen 6 (3) akta sama iaitu hukuman penjara tidak lebih tiga tahun atau sebatan tidak melebihi tiga kali atau kedua-dua sekali.

AADK diwakili Pegawai Pemulihan Anizah Abdul Said dan Helmy Claire manakala kedua-dua tertuduh diwakili Peguam Alex Lee. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *