Gambar ‘tunggang’ penyu cetus kemarahan

Gambar kanak-kanak yang duduk di atas seekor penyu sehingga menimbulkan kemarahan nitizen. – Gambar Media Sosial

GAMBAR kanak-kanak dipercayai pelancong ‘menunggang’ penyu dalam bot yang didakwa dirakam di Sabah mencetuskan kemarahan netizen yang mahu pihak berkuasa mengambil tindakan terhadap operator pelancongan terbabit.

Gambar dipercayai dirakam dalam bot pelancong menunjukkan seorang kanak-kanak memakai jaket keselamatan sambil duduk di atas penyu dan dikelilingi penumpang lain.

Ia tersebar dalam Facebook serta WhatsApp, namun tidak menyebut di mana dan bila insiden itu berlaku.

Pengarah Jabatan Hidupan Liar (JHL) Sabah, Augustine Tuuga berkata, pihaknya turut mendapat laporan mengenai gambar terbabit dan sedang melakukan siasatan lanjut.

“Saya sudah memeriksa dengan pasukan penguat kuasa di Semporna dan setakat ini, mereka tidak mendapat maklumat berhubung kejadian itu. Mungkin, ia gambar dikitar semula, namun saya sudah arahkan pasukan untuk untuk menyiasat,” katanya.

Sementara itu, Penolong Pengarah JHL, Dr Sen Nathan yang namanya ditandakan dalam gambar di Facebook berkata, tiada maklumat lanjut mengenai kejadian yang diberikan oleh pengadu.

Katanya, pihaknya perlu mengesahkan dulu tempat, masa dan pemilik bot sebelum tindakan diambil.

“Selepas itu, mereka (yang melakukan kesalahan) boleh didakwa kerana membahayakan nyawa spesies hidupan liar yang dilindungi sepenuhnya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *