Gadai nyawa demi makan

New York: Seorang gelandangan masih terselamat biarpun kereta api melintasi di atas badannya selepas terjatuh di atas landasan ketika cuba mengambil makanan dalam kejadian di New York, pada Jumaat lalu.

Kejadian dilaporkan berlaku jam 10.30 malam di stesen kereta api di Washington Heights apabila lelaki itu gagal menyambut bungkusan makanan dibaling rakannya dari platform bertentangan lalu terjatuh ke landasan, kata beberapa saksi kepada New York Post.

Dia cuba menyelamatkan diri namun kakinya tersangkut pada landasan itu.

Difahamkan, bungkusan makanan itu terdiri daripada nasi, kacang dan ikan keli.

Daily Mail melaporkan, ketika kereta api tiba, lelaki berusia 68 tahun yang tidak dikenal pasti identitinya itu berjaya menyelit badannya di atas landasan menyebabkan dia terselamat daripada digilis kenderaan itu.

Rakannya, Pedro Cruz, 60, berkata, dia cuba membaling makanan itu tetapi lelaki itu terjatuh.

“Dia melompat ke atas landasan untuk mengambil semula makanan itu kemudian terjatuh. Dia jatuh berhampiran makanan itu,” katanya.

Cruz berkata, dia cuba menghampiri rakannya sebelum melihat kereta api tiba ke arah platform berkenaan tetapi tidak dapat mencapai lelaki terbabit.

Dia cuba memberitahu kakitangan kereta api supaya memberhentikan kenderaan itu tetapi usahanya tidak berhasil.

“Saya kemudian menyuruhnya berbaring. Dia bernasib baik kerana berada di bawah kereta api,” katanya.

Orang ramai yang melihat kejadian itu terus menghubungi panggilan kecemasan 911 sebelum dia berjaya dikeluarkan dari landasan.

Pihak berkuasa berkata, lelaki terbabit tidak mengalami kecederaan tetapi tetap dihantar ke Hospital Harlem untuk pemeriksaan lanjut. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *