BERSATU tak jejas kedudukan WARISAN, PH Sabah

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Lajim Ukin. – Foto pahangdaily

KOTA KINABALU: Cadangan membawa Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) ke Sabah tidak menjejaskan kedudukan Parti Warisan Sabah (WARISAN) dan komponen Pakatan Harapan (PH) serta rakan parti yang menerajui kerajaan negeri ketika ini.

Presiden Parti Harapan Rakyat Sabah (Harapan Rakyat), Datuk Lajim Ukin, sebaliknya menegaskan kemasukan BERSATU akan mengukuhkan lagi kedudukan kerajaan negeri termasuk menguatkan keupayaan parti pemerintah menguasai kawasan pembangkang pada pilihan raya umum (PRU) akan datang.

“Kita sedar dan faham bahawa WARISAN ada persefahaman dengan BERSATU sebelum Pilihan Raya Umum Ke-14 (PRU-14) yang mana BERSATU akur tidak bertanding di Sabah, tetapi ia sudah berlalu dan sekarang kita sepatutnya memikirkan bagaimana untuk menguatkan kerajaan.

“Sebenarnya, tiada apa perlu dirisaukan, malah jika BERSATU bertapak di Sabah dan WARISAN tetap mahu BERSATU tidak bertanding pada PRU akan datang, juga kita akan akur. BERSATU tetap akan membantu memenangkan calon parti kerajaan,” katanya kepada NSTP di sini, hari ini.

Beliau berkata demikian sebagai mengulas maklum balas Ketua Menteri yang juga Presiden WARISAN, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal berhubung pendirian WARISAN yang kekal tidak mahu BERSATU dikembangkan ke Sabah.

Lajim berkata, WARISAN perlu mengambil kira hakikat bahawa pembangkang masih menguasai banyak kawasan negeri ini, selain fakta bahawa kerajaan sekarang dibentuk melalui kerjasama dengan parti lain dalam PH dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) serta bekas ahli UMNO.

“Jadi kenapa perlu menolak kerjasama dengan BERSATU sedangkan ia mampu menguatkan lagi kerajaan. Saya yakin banyak kawasan pembangkang termasuk tempat saya di Beaufort akan menjadi milik kerajaan dengan adanya sokongan BERSATU pada PRU akan datang,” katanya.

Bagaimanapun, Lajim berkata pihaknya terpaksa akur jika BERSATU juga mengambil pendirian untuk tidak mengembangkan sayap ke Sabah, namun kekal dengan pendirian bahawa Harapan Rakyat akan terus menjadi rakan BERSATU dalam kerajaan.

Sebelum ini, Harapan Rakyat meluluskan usul menyokong agar BERSATU mengembangkan sayap ke Sabah dan Lajim turut menyatakan kesediaan membubarkan Harapan Rakyat sebagai landasan BERSATU bertapak di Sabah.

Selain Lajim, bekas wakil rakyat UMNO yang diketuai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Sulaman, Datuk Hajiji Noor turut dilaporkan mahu menyertai BERSATU berdasarkan gambar menunjukkan mereka memegang surat berlambangkan parti itu yang dipercayai permohonan menyertai BERSATU, baru-baru ini.

Perdana Menteri yang juga Pengerusi BERSATU, Tun Dr Mahathir Mohamad sebelum ini sudah menjelaskan bahawa parti itu tidak akan ke Sabah, manakala Presidennya, Tan Sri Muhyiddin Yassin menyatakan soal itu terpulang kepada perbincangan dengan WARISAN. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *