Yamani Hafez sudah pulang, dijadual angkat sumpah Ahli Parlimen esok

Gambar Hafez Yamani dilaporkan tiba di Kuala Lumpur semalam. Seorang pengguna twitter turut menyiarkannya media sosial. – Gambar SNT / Ehsan Sumber

KOTA KINABALU: Setelah beberapa bulan gagal menghadirkan diri dalam acara mengangkat sumpah sebagai Ahli Parlimen, Yamani Hafez Musa tiba di Malaysia, semalam.

Menurut sumber, Yamani Hafez, 39, tiba di Kuala Lumpur kira-kira pukul 9 malam dan kini berada di Kuala Lumpur untuk majlis angkat sumpah di Dewan Rakyat esok.

“Memang beliau telah tiba di Malaysia dan berada di Kuala Lumpur, saya mendapat info mengenai ketibaan beliau semalam,” kata sumber berkenaan ketika menjawab pesanan ringkas yang dihantar melalui WhatApp kepada Sabah News Today hari ini.

Sebelum ini Yamani Hafez berada di London bagi menemani bapa beliau, bekas Ketua Menteri Tan Sri Musa Aman untuk menjalani rawatan.

Berdasarkan Perkara 59 Perlembagaan Persekutuan, Ahli Parlimen yang gagal mengangkat sumpah dalam tempoh enam bulan mulai dari tarikh Dewan Rakyat mula bersidang akan hilang kelayakan.

Bagaimanapun Pejabat Parlimen pada 19 Disember lalu telah mengeluarkan kenyataan bahawa Yamani Hafez akan mengangkat sumpah pada pukul 10 pagi di Kamar Khas Dewan Rakyat dihadapan Speaker Datuk Mohamad Ariff Md Yusof.

Yamani merupakan Ahli Parlimen yang terakhir mengangkat sumpah bagi penggal ini dan telah mendapat amaran dari Speaker Parlimen untuk berbuat demikian sebelum 15 Januari 2019.

Sekiranya beliau gagal, kerusi Parlimen Sipitang akan dikosongkan dan pilihanraya kecil diadakan semula. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *