Sultan Muhammad V letak jawatan Yang di-Pertuan Agong

KUALA LUMPUR: Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat-kuasa hari ini.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Wan Ahmad Dahlan Ab Aziz, berkata peletakan jawatan baginda itu selaras Perkara 32 (3) Perlembagaan Persekutuan.

Beliau berkata, baginda sudah memaklumkan perkara itu secara rasmi kepada Duli-duli Yang Maha Mulia Raja-raja melalui warkah yang diutuskan kepada Setiausaha Majlis Raja-Raja.

“Bagi menjunjung titah Kebawah Duli Yang Maha Mulia (KDYMM) Seri Paduka Baginda Yang di-Pertuan Agong XV, Sultan Muhammad V, dengan ini Istana Negara memaklumkan bahawa KDYMM Seri Paduka Baginda Tuanku meletak jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong XV berkuat kuasa 6 Januari (Ahad) bersamaan 29 Rabiulakhir 1440H selaras Perkara 32(3) Perlembagaan Persekutuan.

“Sepanjang menjalankan tugas sebagai Yang di-Pertuan Agong, baginda berusaha memenuhi tanggungjawab dan amanah selaku Ketua Negara, berperanan sebagai tunggak kestabilan, sumber keadilan, teras perpaduan dan payung penyatuan di kalangan rakyat.

“Tuanku menzahirkan ucapan terima kasih kepada Duli Yang Maha Mulia Raja-Raja yang memilih baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong ke-15 bermula 13 Disember 2016,” katanya dalam satu kenyataan, hari ini.

Sultan Muhammad V meletakkan jawatan sebagai Yang di-Pertuan Agong berkuat-kuasa hari ini.

Wan Ahmad Dahlan berkata, Sultan Muhammad V turut menzahirkan penghargaan kepada Perdana Menteri dan kerajaan yang memberi kerjasama dalam mentadbir negara.

Katanya, Sultan Muhammad V selaku Pemerintah Tertinggi Angkatan Tentera turut berbangga dengan pengorbanan serta taat setia yang dicurahkan kepada baginda dan negara selama ini.

“Kepada rakyat Malaysia, Tuanku bertitah supaya rakyat Malaysia terus bersatu mengekalkan perpaduan, bertolak ansur dan bersepakat dalam memikul tanggungjawab terhadap negara yang berdaulat ini, supaya Malaysia terus berada dalam keadaan aman dan harmoni.

“Tuanku telah bersedia berangkat pulang ke Kelantan Darul Naim untuk bersama-sama dengan kerajaan negeri, dan terutamanya rakyat Kelantan bagi menjaga dan membangunkan negeri itu demi kesejahteraan rakyat,” katanya.

Beberapa hari lalu, media sosial kecoh dengan dakwaan kononnya mesyuarat khas Majlis Raja-Raja membincangkan kedudukan baginda.

Perdana Menteri, Tun Dr Mahathir Mohamad ketika ditanya mengenai dakwaan itu sebelum ini, berkata ia sekadar khabar angin.

Sultan Muhammad V berkenan menyampaikan titah diraja pada Istiadat Pembukaan Penggal Pertama Parlimen ke-14 di Bangunan Parlimen, pada Julai 2018. – NSTP/Asyraf Hamzah

Biodata Sultan Muhammad V

– Baginda diputerakan pada 6 Oktober 1969 di Istana Batu, Kota Bharu, Kelantan.

– Baginda mendapat pendidikan awal di Sekolah Sultan Ismail 1 Kota Bharu sebelum menyambung pelajaran di Sekolah Antarabangsa Kuala Lumpur.

– Baginda dilantik sebagai Tengku Mahkota Kelantan pada ulang tahun keputeraan baginda yang ke-16 iaitu pada 6 Oktober 1985.

– Minat baginda yang mendalam terhadap bidang ilmu dan pendidikan mendorong baginda berangkat ke England bagi menyambung pelajaran di Oakham School Ruthland sehingga 1989.

– Baginda melanjutkan pelajaran dalam bidang Pengajian Diplomatik di St Cross College, Oxford dan dalam bidang Pengajian Islam di Oxford Centre sehingga 1991.

– Tanggal 24 Mei 2009, baginda dilantik menjadi Pemangku Raja Kelantan.

– Pada 13 September 2010 baginda menaiki takhta Kerajaan Negeri Kelantan dan menggunakan gelaran Sultan Muhammad V selepas dimasyhurkan sebagai Sultan Kelantan ke-29.

– Seterusnya pada 13 Disember 2011, baginda dipilih menjadi Timbalan Yang di-Pertuan Agong Ke-14 oleh Majlis Raja-Raja dan pada 2016, Majlis Raja-Raja melantik baginda sebagai Yang di-Pertuan Agong Malaysia ke-15, berkuat kuasa pada 13 Disember 2016 untuk tempoh lima tahun.

– Sebagai Canselor Universiti Teknologi Mara (UiTM) dan Universiti Pertahanan Nasional Malaysia (UPNM), baginda akan berangkat mencemar duli ke setiap istiadat konvokesyen yang dianjurkan universiti berkenaan.

– Baginda turut membabitkan diri dalam pelbagai pertubuhan kebajikan dan sukan selain aktif berperanan dalam organisasi berkaitan keselamatan dan ketenteraan.

– Baginda amat meminati sukan lasak seperti ekspedisi kenderaan pacuan empat roda dan ekuestrian selain meminati sukan memanah dan menembak dan gemar memelihara hidupan liar.

– Selain aktif dalam persatuan, baginda juga mempunyai minat memelihara haiwan seperti kuda dan rusa.

– Baginda berkenan menjadi Penaung kepada pelbagai persatuan dan kelab iaitu Persatuan Menembak Kelantan; Yayasan Sultan Kelantan (YSK); Majlis Orang-Orang Besar DiRaja Kelantan, Persatuan Perubatan Anti-Penuaan Aestetik Rejeneratif Malaysia (SAAARMM); Persatuan Bulan Sabit Merah; Persatuan Sukan Berkuda; Persatuan Motor 4 x 4; Persatuan Memanah.

– Baginda dianugerahkan dengan pelbagai Darjah Kebesaran iaitu D.K. (1986), D.M.N. (2010), D.K. (Selangor – Januari 2011)., D.K. (Negeri Sembilan – April 2011)., D.K. (Johor – 2011)., D.K. (Perak – Julai 2011)., D.K. (Perlis – Oktober 2011)., D.K. (Kedah – Mac 2012)., D.K.(Terengganu – November 2014)., S.P.M.K., S.J.M.K., S.P.K.K., S.P.S.K., dan D.K.M (2017).
– Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *