Sabah cari jalan selesai masalah sekolah, kesesakan pelajar

SANDAKAN, 5 Jan – Kementerian Pelajaran dan Inovasi Sabah akan membuat perancangan untuk mencari jalan bagi menyelesaikan masalah sekolah di negeri ini, termasuk kesesakan pelajar di sesebuah sekolah.

Menteri berkenaan, Datuk Dr Yusof Yaacob berkata dalam lawatannya ke beberapa daerah di negeri ini, banyak sekolah masih menjalankan pembelajaran dua sesi melibatkan pagi dan petang kerana bilangan pelajar terlalu ramai melebihi 1,000 orang.

“Saya melihat keadaan di Sabah, masih ada sekolah menjalankan pembelajaran dua sesi, murid sekolah rendah menumpang bangunan sekolah menengah dan pelajar sekolah menengah menumpang bangunan sekolah rendah…sekolah ramai pelajar tetapi kelas tidak mencukupi.

“Ada juga sekolah besar, tetapi tiada murid. Ini bermakna taburan sekolah tidak dikaji dengan menyeluruh sebelum ini,” katanya ketika ditemui pemberita selepas melawat Sekolah Menengah Kebangsaan Elopura dekat sini hari ini.

Yusof turut prihatin dengan ketidakselesaan guru dan pelajar di sekolah daif di seluruh negeri yang perlu dilakukan penambahbaikan terhadap kemudahan sekolah.

Beliau berkata daripada 1,296 sekolah di Sabah, lebih 500 sekolah masih dalam keadaan daif dan perlu diganti dengan segera bagi memastikan hasrat kerajaan untuk memperkasakan pendidikan di negeri ini tercapai.

Selain Sandakan, Yusof sudah melawat sekolah di Tawau, Semporna, Nabawan, Pensiangan, Kudat dan Sipitang.

Katanya rata-rata pihak sekolah meluahkan masalah sama seperti isu jalan ke sekolah, bangunan sekolah rosak perlu dibaiki dan ketiadaan dewan.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *