Pabuk mengamuk

BANGKOK: Sekurang-kurangnya seorang terbunuh akibat ribut Pabuk yang melanda Teluk Siam yang membawa ombak setinggi lima meter, angin kencang menumbangkan pokok dan bumbung rumah serta banjir akibat hujan lebat semalam.

Ombak ganas menghempas jeti di Surat Thani. – AFP

Menurut kenyataan agensi bencana Thailand, seorang kru bot nelayan terbunuh selepas bot berkenaan karam dipukul ombak dekat pantai wilayah Pattani. Seorang lagi kru masih hilang namun empat lagi nelayan terselamat.

Ribut tropika itu melanda daerah Pak Phanang di wilayah Nakhon Si Thammarat menyebabkan banyak kerosakan.

Sebelum ini, jabatan kaji cuaca memberi amaran 15 wilayah di selatan Thailand akan dilanda hujan lebat serta angin kencang akibat ribut berkenaan.

Namun, pada petang semalam, kekuatan ribut berkenaan berkurangan ketika menuju Surat Thani.

“Kekuatannya dijangka menurun menjadi ribut biasa namun orang ramai masih perlu berhati-hari kerana angin kencang masih mampu menumbangkan pokok serta banjir kilat,” kata kenyataan jabatan kaji cuaca.

Pihak berkuasa Thailand mengarahkan ribuan penduduk dipindahkan ke pusat perlindungan manakala dua lapangan terbang utama ditutup akibat ribut tropika dengan angin berkelajuan 80 kilometer itu.

“Angin kencang dengan ombak setinggi sehingga lima meter di Teluk Siam dan Laut Andaman. Semua kapal dinasihatkan berlabuh,” kata Jabatan Meteorologi Thailand.

Menurut Jabatan Pencegahan dan Pengurangan Bencana, sejak beberapa hari lalu, 6,176 orang dipindahkan ke pusat perlindungan dari Nakhon Si Thammarat serta wilayah Pattani, Songkhla dan Yala.

Lapangan terbang Nakhon Si Thammarat ditutup dan penerbangan kos rendah Nok Airlines Pcl menyatakan ia membatal semua lapan penerbangan keluar masuk dari wilayah itu.

Lapangan terbang Surat Thani juga akan ditutup bermula petang semalam, yang menjejaskan penerbangan Nok Airlines, Lion Air dan Thai Smile.

Terdahulu, Bangkok Airways Pcl turut mengumumkan pembatalan semua penerbangan keluar masuk dari destinasi percutian Koh Samui, termasuk perkhidmatan feri. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *