Ribuan pelancong lari elak Pabuk

BANGKOK: Puluhan ribu pelancong meninggalkan pulau peranginan Thailand termasuk Koh Phangan dan Koh Tao selepas Ribut Tropika Pabuk diramal membadai dengan membawa hujan lebat, angin serta ombak setinggi tujuh meter, kata pihak berkuasa.

Pengawal pantai memacakkan tanda amaran di tepi pantai. – Agensi

Sejak semalam, pulau-pulau yang menjadi tumpuan pelancong bersempena cuti Krismas dan Tahun Baharu mula dikosongkan susulan perkembangan fenomena itu.

Pegawai Daerah Koh Phangnan, Krikkrai Songthanee berkata: “Saya rasa semua pulau hampir kosong. Antara 30,000 hingga 50,000 orang meninggalkannya sejak majlis sambutan Tahun Baharu tamat.”

Ribut tropika Pabuk yang kali pertama membadai di luar musim monsun sejak 30 tahun lalu, diramal membadai Koh Phangan, Koh Tao dan Koh Samui malam ini sebelum melalui tanah besar.

Walaupun tiada amaran rasmi dikeluarkan setakat ini, pelancong bertindak meninggalkan pulau peranginan berkenaan kerana tidak mahu mengambil risiko.

Pihak berkuasa di pulau itu berkata, mereka menyediakan tempat perlindungan untuk mana-mana pelancong yang mengambil keputusan menunggu sehingga ribut reda.

Pabuk yang bererti ikan keli gergasi di Laos, juga diramal membawa hujan lebat ke selatan, termasuk kawasan tumpuan pelancong di Laut Andaman seperti Krabi dan wilayah yang bersempadan dengan Malaysia iaitu Pattani, Narathiwat dan Yala. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *