MASwings kendali 39 laluan luar bandar di Sabah & Sarawak

PUTRAJAYA, 4 Jan – MASwings akan mengendalikan operasi penerbangan melibatkan 39 laluan luar bandar di Sabah dan Sarawak bagi tempoh 2019 hingga 2024 mengikut perjanjian Perkhidmatan Udara Luar Bandar (RAS) baharu dengan kerajaan.

Perjanjian antara MASwings dan kerajaan itu ditandatangani di Kementerian Pengangkutan di sini hari ini dengan MASwings diwakili Ketua Pegawai Eksekutif, Aminuddin Zakaria dan Ketua Kewangan, Normah Din manakala Kementerian Pengangkutan selaku pihak kerajaan diwakili Ketua Setiausaha kementerian, Datuk Seri Saripuddin Kasim.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook berkata berdasarkan perjanjian baharu tersebut, MASwings perlu menyediakan perkhidmatan bagi 39 laluan mulai 1 Jan, 2019 berbanding 49 laluan sebelum ini di Sabah dan Sarawak dengan menggunakan pesawat ATR72 dan Twin Otter Viking.

Selain 39 laluan itu, MASwings juga dikehendaki memperkenalkan laluan bagi destinasi RAS secara berperingkat, katanya kepada pemberita selepas majlis tandatangan perjanjian itu di sini.

Destinasi RAS berkenaan ialah Limbang–Kuching (tiga kali seminggu menggunakan pesawat ATR72), Long Lellang–Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter), Long Seridan–Bario (sekali seminggu menggunakan pesawat Twin Otter), dan perkhidmatan kargo khas antara Miri – Bario, Ba’kelalan, Long Seridan, Long Lellang, Long Akah dan Long Banga (sekali seminggu bagi setiap laluan dengan menggunakan pesawat Twin Otter).

Mengikut perjanjian baharu itu, Loke berkata mekanisme pemberian subsidi diubah daripada mekanisme berdasarkan kerugian operasi RAS dan insentif kewangan kepada mekanisme yang terikat dengan prestasi operasi dan kewangan.

“Insentif diberikan dalam bentuk pembayaran yuran pengurusan tertakluk kepada prestasi operasi dan kewangan,” katanya.

Loke berkata bayaran penalti akan dikenakan kepada MASwings bagi perkhidmatan yang tidak memuaskan dan tidak mencapai tahap Petunjuk Prestasi Utama yang ditetapkan.

Beliau berkata, enam laluan RAS yang disediakan MASwings sebelum ini iaitu Kota Kinabalu-Sandakan;  Kota Kinabalu-Tawau; Kota Kinabalu-Miri; Kuching-Miri; Kuching-Bintulu dan Kuching-Sibu telah dikelaskan kepada laluan komersial sepenuhnya mulai 1 Jan, 2019.

“Laluan tersebut sudah tidak lagi memenuhi takrifan PSO (Obligasi Perkhidmatan Awam) dan tidak layak untuk dikategorikan sebagai RAS di bawah Akta Suruhanjaya Penerbangan Malaysia 2018 (Akta 771) memandangkan laluan tersebut turut dioperasikan secara bersama oleh MASwings dengan beberapa syarikat penerbangan lain,” katanya.

Loke berkata kerajaan juga akan meneliti cadangan penambahan empat destinasi baharu RAS iaitu Long Pasia di Sabah serta Kapit/Bukit Mabong, Belaga dan Long Silat di Sarawak.

“Namun penambahan destinasi tersebut tertakluk kepada ketersediaan infrastruktur penerbangan berkaitan termasuk kos, lokasi dan faktor lain yang berkenaan,” katanya.

Selain itu, Loke turut mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju supaya dua laluan iaitu Kota Kinabalu-Sibu dan Kota Kinabalu-Bintulu dikeluarkan daripada senarai RAS dan diklasifikasikan sebagai laluan komersial mulai 1 Jan, 2019, dengan AirAsia diberi kepercayaan menyediakan perkhidmatan bagi laluan itu.

Perjanjian antara AirAsia, yang diwakili Ketua Pegawai Eksekutif Riad Asmat dan Ketua Hal Ehwal Perundangan Kumpulan, Vinod Krishnan, dengan kerajaan melalui Kementerian Pengangkutan, yang diwakili Saripuddin turut dimeterai hari ini.

Loke berkata, perjanjian tersebut antara lain menetapkan terma dan syarat bagi AirAsia termasuk pengenaan penalti sebanyak RM3 juta setahun sekiranya AirAsia gagal beroperasi dalam tempoh yang ditetapkan iaitu enam tahun (mulai 1 Jan, 2019 hingga 31 Dis, 2024) bagi mengelakkan operasi penerbangan di laluan tersebut terjejas.

Beliau berkata, AirAsia menawarkan kekerapan penerbangan 14 kali seminggu dengan 2,520 tempat duduk seminggu dengan menggunakan pesawat A320 bagi setiap laluan berbanding hanya 952 tempat duduk dengan pesawat ATR72 sebelum ini, peningkatan sebanyak 165 peratus.

“AirAsia telah menzahirkan komitmen kepada kerajaan untuk memastikan harga tiket bagi dua laluan tersebut sentiasa kompetitif kepada penumpang,” katanya.

Beliau berkata, kerajaan memutuskan bahawa dua laluan tersebut akan hanya dibuka kepada syarikat penerbangan komersial lain selepas kajian semula ke atasnya dilaksanakan bagi memastikan laluan tersebut mencapai tahap kemampanan yang bersesuaian untuk terus beroperasi secara komersial.

“Ini adalah bagi memastikan kesinambungan perkhidmatan penerbangan di laluan ini tidak terjejas,” katanya.

  • BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *