Wanita tertua tipu usia?

PARIS: Seorang wanita Perancis, Jeanne Calment, yang sebelum ini diiktiraf sebagai tertua dalam sejarah ketika meninggal dunia pada usia 122 dipercayai sebenarnya menipu dengan menggunakan identiti ibunya, dalam satu teori mengejutkan oleh penyelidik Russia.

Jeanne menyambut ulang tahun ke-122

Dalam kajian oleh pakar matematik Nikolay Zak yang disokong pakar gerontologi (kajian usia) Valery Novoselov, Jeanne yang sebenar meninggal dunia pada 1934 akibat jangkitan paru-paru pada usia 59 tahun.

Susulan itu, anaknya Yvonne mengambil alih identiti ibunya untuk mengelak cukai pusaka tinggi Perancis dan mendaftarkan namanya sebagai si mati lapor Fox News.

Novoselov memberitahu AFP, dia sudah lama meragui usia sebenar ‘Jeanne’ kerana melihat wanita itu mampu duduk tanpa sebarang sokongan selain tidak langsung menunjukkan tanda demensia.

Jeanne meninggal dunia pada 1997, berusia 122 tahun dan 164 hari.

Selain itu, National Post memetik Novoselov merujuk kepada beberapa perkara dianggap pelik dalam kehidupan Jeanne yang dianggap konsisten dengan teori bahawa wanita itu sebenarnya Yvonne.

Ini termasuk fakta bahawa suami Yvonne, Joseph, tidak pernah berkahwin lain malah tinggal bersama ‘ibu mentuanya.’

Jeanne bukan saja memegang rekod sebagai manusia tertua dunia, malah mengatasi semua saingan lain. Orang kedua tertua adalah Sarah Knauss dari Amerika Syarikat yang meninggal dunia pada usia 119 tahun.

Usia kematian Jeanne juga begitu pelik sehingga penyelidik mengatakan ia tidak mungkin mampu dicapai sesiapa lagi.

Novoselov mencadangkan supaya mayat Jeanne diperiksa untuk kepastian. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *