Siasat Mereka – Parti Cinta Sabah

KOTA KINABALU: Satu laporan polis dibuat oleh Parti Cinta Sabah (PCS) terhadap kumpulan badan bukan kerajaan (NGO) dan sebuah parti politik di negeri ini kerana menghantar memorandum membantah sambutan Krismas dan Tahun Baru di Tawau baru-baru ini.

Norbert (tengah) bersama dua ahli PCS menunjukkan laporan polis yang dibuat terhadap WIM dan PAS di Balai Polis Karamunsing. – Gambar The Borneo Post

Laporan itu dibuat di Balai Polis Karamunsing kira-kira pukul 9.40 pagi ini oleh parti itu yang diketuai Naib Presidennya, Norbert Chin.

Norbert berkata mereka mengemukakan laporan itu kerana tidak berpuas dengan tindakan Wahyu Ilahi Managment (WIM) dan PAS yang dikhuatiri boleh mengugat keharmonian dan perpaduan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini.

“Tindakan mereka itu merupakan hasutan untuk membenci masyarakat Kristian. Saya meminta supaya polis dan kerajaan mengambil tindakan undang-undang terhadap mereka.

“Saya juga memohon agar pihak berkuasa menyiasat latar belakang pembantah tersebut sama ada mereka ini adalah orang asal Sabah atau orang luar yang sengaja datang ke Sabah untuk menimbulkan kekacauan dan perpecahan di negeri ini,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sambutan ambang Tahun Baru 2019 di Tawau baru-baru ini dimeriahkan oleh kira-kira 10,000 rakyat pelbagai kaum dan ia turut dihadiri Timbalan Ketua Menteri merangkap Ahli Parlimen Tawau dan Pengerusi PKR Sabah, Datuk Christina Liew serta beberapa pemimpin Parti Warisan Sabah (Warisan).

Setelah mendapat kritikan ekoran tindakan membuat laporan polis, PAS semalam telah mengemukakan permohonan maaf secara terbuka menerusi satu kenyataan.

Dalam pada itu, Norbert berkata pihaknya juga menyokong saranan oleh Presiden STAR, Datuk Dr. Jeffrey Kitingan supaya kerajaan mengambil tindakan proaktif terhadap individu yang cuba menghidupkan anti-Kristian di Tawau. – SabahNewsToday

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *