Tolak Sentimen Negatif : Christina Liew

KOTA KINABALU: Sebarang anasir negatif yang boleh mencetuskan ketegangan kaum di negeri ini wajar ditolak sekeras-kerasnya, kata Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Christina (tengah, barisan belakang) bersama Julniealam (kanan) dan pelajar Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah pada program sumbangan anjuran UPPM Api-Api.

Beliau berkata keharmonian dan keamanan yang dinikmati oleh rakyat pelbagai kaum di negeri ini perlu terus dikekalkan demi memastikan kesejahteraan semua pihak terpelihara.

“Rakyat Sabah menyambut perayaan di negeri ini bersama-sama sejak dari dahulu lagi dan ia harus diteruskan. Jika 20 atau 30 tahun lalu tidak ada bantahan apabila perayaan kaum diadakan, kenapa tiba-tiba (apabila kerajaan baharu) ada pihak membantah.

“Sikap itu tidak boleh diterima dalam masyarakat kita,” katanya kepada pemberita selepas menyampaikan bantuan keperluan asas kepada Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah dan sumbangan kepada Masjid Bandar Kota Kinabalu di sini hari ini.

Christina berkata demikian ketika ditanya mengenai tindakan PAS menghantar memorandum bantahan terhadap sambutan Krismas dan Tahun Baru anjuran Pejabat Ahli Parlimen Tawau yang dihadiri kira-kira 10,000 orang baru-baru ini.


Sehubungan itu, beliau yang juga Ahli Parlimen Tawau menegaskan satu laporan polis telah dibuat oleh PKR dan Warisan Tawau terhadap PAS kerana dikatakan cuba mencetuskan ketegangan kaum di negeri ini dengan mengeluarkan memorandum itu.

Terdahulu dalam majlis itu Christina menyampaikan sumbangan bernilai RM4,000 termasuk wang tunai RM500 kepada Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Syatibiyah kelolaan Masjid Bandar Kota Kinabalu yang diwakili Pengerusi Masjid, Ustaz Julniealam Amilussin dan Bendahari Masjid Datuk Arshad Idris.

Selain itu, Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Api-Api itu juga menyampaikan goodie bag kepada 25 pelajar tahfiz tersebut.

“Melakukan amal kebajikan untuk masyarakat setempat adalah aktiviti Unit Pemimpin Pembangunan Komuniti Api-Api (UPPM) dan ia akan diteruskan pada masa akan datang,” kata Liew merangkap Menteri Pelancongan, Kebudayaan dan Alam Sekitar Negeri. – SabahNewsToday

Christina (empat dari kanan) menyampaikan sumbangan kepada Julniealam di Pusat Pengajian Tahfiz Al-Quran As-Satibiyah. –

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *