Polis masih siasat motif letupan kedai emas di Segama

KOTA KINABALU, 2 Jan – Polis masih menyiasat motif  kejadian letupan di sebuah kedai emas di Segama dekat sini pada Isnin lepas.

Letupan yang memusnahkan pintu hadapan kedai itu disyaki cubaan pecah masuk ke premis tersebut, namun, tiada barang kemas dilaporkan hilang.

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata sehingga hari ini belum ada suspek ditahan bagi membantu siasatan kes itu yang disiasat dibawah Seksyen 6 Akta Senjata Api (Penalti Lebih Berat) 1971 dan Akta Bahan Letupan 1957.

Katanya hari ini pihaknya akan mengadakan mesyuarat susulan bagi mengenal pasti motif dan suspek yang terlibat dalam kejadian itu.

“Kita belum dapat mengenal pasti motif kejadian samada berunsur dendam atau cubaan pecah masuk,” katanya ketika ditemui pemberita selepas Program Kembali Ke Sekolah di Sekolah Menengah Maktab Sabah di sini, hari ini.

Letupan itu dipercayai berpunca daripada bahan belerang dan dalam kejadian kira-kira 2.30 pagi itu, tiada barang kemas dilaporkan hilang berikutan pemilik kedai tidak menyimpan barang kemas berkenaan di premis pada waktu malam.

Pada masa sama, Habibi meminta orang awam yang mempunyai maklumat mengenai kejadian itu supaya tampil membantu polis dalam siasatan yang dijalankan.

–BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *