Dua minggu terperangkap

Anggota penyelamat turun ke dalam lombong arang batu haram untuk mencari 15 pelombong yang terperangkap lebih dua minggu di daerah terpencil negeri Meghalaya, India. – Agensi


New Delhi: Penyelam tentera laut India semalam melancarkan operasi menyelamat 15 pelombong yang terperangkap lebih dua minggu di dalam sebuah lombong arang batu haram yang ditenggelami air di kawasan terpencil timur laut India lebih dua minggu lalu.

Pekerja lombong terbabit dilaporkan terperangkap di ‘lubang tikus’ yang sempit sejak 13 Disember lalu apabila air sungai berhampiran melimpah masuk ke dalam lombong sedalam 106 meter di negeri Meghalaya itu.

Setakat ini tiada tanda mangsa masih hidup meskipun anggota keluarga mangsa menaruh harapan bahawa mereka berkemungkinan menemui poket udara untuk terus hidup.

“Seramai 14 penyelam tentera laut tiba dan meninjau lombong itu. Mereka memasukinya sekarang (semalam),” kata jurucakap polis, Sylvester Nongtnge kepada AFP.

Pelombongan ‘lubang tikus’ ialah kaedah menggali di lereng bukit dan membentuk satu terowong kecil setinggi 1.5 meter menuju ke sumber arang.

Pada 2014, mahkamah mengharamkan kegiatan melombong arang di kawasan terbabit sejak tahun 2014 susulan aduan aktivis alam sekitar bahawa ia mengakibatkan pencemaran air menjadi semakin buruk.

Pada 2012, seramai 15 pelombong terbunuh selepas mereka terperangkap dalam lubang tikus yang dinaiki air di lombong di Meghalaya.

Kejadian terbaru itu mencetuskan kemarahan orang ramai berhubung usaha menyelamat yang perlahan.

Pada minggu lalu Pasukan Bantuan Bencana Kebangsaan India (NDRF) meminta kerajaan menghantar 10 pam untuk mengeluarkan air sebelum penyelam boleh masuk ke lombong itu.

“Kami tidak akan berputus asa hingga ke saat-saat akhir,” kata seorang pegawai kanan NDRF, SK Singh.

Pengguna media sosial juga membandingkan usaha menyelamat itu dengan kejadian 13 pemain bola sepak kelab remaja Thailand yang terperangkap di dalam gua selama 18 hari. – AFP

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *