Bekalan petrol, diesel di Sabah mencukupi

PENAMPANG, 31 Dis – Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) Sabah memberi jaminan bekalan minyak petrol dan diesel di negeri ini mencukupi sekali gus mengingatkan pengguna supaya tidak perlu khuatir mahupun membuat pembelian secara panik.

Pengarahnya Georgie Abas berkata jaminan itu diberikan selepas pihak penguatkuasa mengadakan lawatan serta pemeriksaan ke setiap stesen minyak petrol dan diesel di seluruh negeri dan mendapati bekalan sememangnya mencukupi setakat ini.

“KPNDHEP Sabah membuat pemeriksaan stesen minyak petrol dan diesel di seluruh negeri berikutan ada ura-ura mengatakan kemungkinan tiada bekalan minyak petrol dan diesal pada awal tahun baharu ini.

“Sejak 27 Dis hingga semalam (30 Dis), KPNDHEP Sabah telah membuat sebanyak 243 pemeriksaan ke atas 208 stesen minyak petrol dan diesel, dan berdasarkan itu, kami memberi jaminan bekalan minyak petrol dan diesel di Sabah mencukupi,” katanya kepada pemberita selepas melawat beberapa stesen minyak di sini, hari ini.

Dalam pada itu, Georgie juga berkata, pengusaha serta operator stesen minyak petrol dan diesel di Sabah diharap mematuhi arahan dikeluarkan KPNDHEP termasuk tidak sewenang-wenangnya menutup pam minyak di stesen mereka sekiranya ia tidak mengalami sebarang kerosakan.

“Walaupun hanya menutup sebuah pam, namun, tanpa kebenaran daripada KPDNHEP ia adalah satu kesalahan dan kami boleh mengambil tindakan… Jika pam ada masalah operator stesen minyak perlu memaklumkan kepada kami termasuk jika bekalan minyak petrol dan diesel tidak mencukupi,” katanya.

Georgie berkata pengusaha serta operator stesen minyak petrol dan diesel yang didapati melakukan kesalahan akan dikenakan tindakan tegas termasuk didenda sehingga RM1 juta bagi kesalahan pertama atau sehingga RM3 juta bagi kesalahan kedua.

Orang ramai juga diminta melaporkan kepada KPDNHEP jika mendapati ada stesen minyak petrol dan diesel melanggar arahan dan peraturan dikeluarkan, katanya.

Sementara itu, Georgie berkata, pihaknya telah membuat sebanyak 56,092 pemeriksaan di premis termasuk pasaraya dan pasar tamu di seluruh negeri sepanjang tahun ini dengan merekodkan sebanyak 1,100 kes melibatkan nilai rampasan hampir RM7.5 juta.

Kesalahan dilakukan peniaga termasuk tidak meletakkan tanda harga atau menjual barang kawalan tidak mengikut harga ditetapkan KPDNHEP, katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *