Bapa tak guna

MANILA: Seorang lelaki ditangkap kerana menggantung anak lelakinya dalam keadaan terbalik di tingkap sebelum memukul kanak-kanak itu dan merakamkan perbuatan berkenaan semata-mata untuk memaksa ibu mangsa kembali kepadanya.

Sedutan video menunjukkan lelaki itu mengantung anaknya pada tingkap sebelum memukul mangsa. – Foto Agensi

ABS-CBN News melaporkan kejadian itu berlaku di Santa Rosa, Laguna di Luzon pada 18 Disember lalu.

Lelaki itu yang dikenali sebagai Melvin Caro Batitis memberitahu polis, teman wanitanya pergi bercuti di Iloilo di pulau Visayas selama dua minggu menyebabkan dia berang kerana mengesyaki wanita itu curang.

“Teman wanita saya berkata, dia bercuti di wilayah itu dan akan kembali pada tahun baru nanti. Bagaimanapun, saya diberitahu dia tidak akan pulang kerana sudah bertemu lelaki lain,” katanya.

Lelaki itu juga mengaku dia mabuk ketika mendera anaknya yang berusia empat tahun.

GMA News melaporkan lelaki itu merakamkan perbuatan berkenaan sebelum menghantar video itu kepada teman wanitanya pada hari Krismas lalu.

Ibu kanak-kanak itu kemudian menghantar video berkenaan kepada kakaknya sebelum wanita itu menyerahkannya kepada polis untuk meminta bantuan.

Ketua Polis Santa Rosa, Eugene Orate memberitahu polis menyelamatkan kanak-kanak itu pada hari yang sama.

Batitis ditangkap dua hari kemudian ketika bersembunyi di sebuah ladang berhampiran landasan kereta api di kampung Barangay Pooc.

Orate memberitahu Jabatan Kebajikan dan Pembangunan Masyarakat memfailkan tuduhan mendera kanak-kanak terhadap lelaki itu dan teman wanitanya mungkin juga dikenakan tindakan jika didapati sengaja meninggalkan anaknya.

Video berkenaan tular di laman sosial termasuk di Malaysia sehingga ada yang menggesa polis mengambil tindakan segera terhadap lelaki itu kerana menyangka ia berlaku di negara itu. – Agensi

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *