Pesta Kaamatan, Gawai antara 6 perayaan utama disambut peringkat kebangsaan – TPM

KOTA KINABALU: Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail, berkata kerajaan memutuskan untuk menyambut enam perayaan utama di peringkat kebangsaan termasuk Pesta Kaamatan dan Gawai bagi mengekalkan keharmonian dan perpaduan di negara ini.

KOTA KINABALU 29 DISEMBER 2018. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail diiringi Timbalan Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew (dua dari kanan) ketika tiba di Terminal 2, Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu (KKIA). NSTP/MALAI ROSMAH TUAH.

Timbalan Perdana Menteri ketika mengumumkan perkara itu, berkata ia dikenali sebagai Majlis Rumah Terbuka Malaysia (MRTM).

Katanya, selain MRTM Kaamatan dan Gawai, empat lagi MRTM lain ialah Tahun Baharu Cina, Aidilfitri, Deepavali dan Krismas.

“Antara objektif utama penganjuran MRTM ialah memupuk perpaduan rakyat pelbagai kaum, menyemarakkan semangat Malaysia baharu dan menjalinkan hubungan mesra pemimpin serta rakyat.

“Sifat iri hati dengan sesuatu bangsa itu perlu dibuang sebaliknya rakyat perlu bangkit bersatu membina kemakmuran dan kemajuan negara. Selagi kita bersatu hati, saya yakin masa depan negara lebih gemilang dan perpaduan serta keharmonian rakyat berpanjangan dan berkekalan.

“Kerajaan sentiasa komited memastikan apa yang kita peroleh hari ini akan terus terpelihara, dipertahankan dan dipertingkatkan bagi memastikan faedahnya kembali kepada rakyat,” katanya.

Beliau berkata demikian ketika merasmikan Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018 di Padang Merdeka, di sini sebentar tadi.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, sebagai tetamu kehormat.

Yang turut hadir Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi serta menteri Kabinet negeri dan Persekutuan

Dalam pada itu, Dr Wan Azizah berkata kerajaan mahu semua anasir jahat yang suka menghasut, melemparkan tohmahan dan fitnah untuk kepentingan diri perlu ditolak rakyat.

“Tidak kira dalam apa juga bidang dan lapangan, kerajaan akan terus komited memastikan keperluan dan harapan rakyat dipenuhi.

“Kita bukan kerajaan yang hanya bercakap sahaja tetapi adalah kerajaan bersekali dengan tindakan dan susulan serta berusaha meningkatkan ekonomi negara melalui tadbir urus yang baik dan berintegriti,” katanya.

Justeru Dr Wan Azizah berkata, perlu diterapkan dalam diri bahawa setiap individu tidak kira agama dan bangsa mempunyai peranan dan kebolehan memacu negara ke arah yang lebih baik.

“Oleh itu, saya ingin tekankan bahawa kerajaan tidak pernah meminggir mana-mana kaum dan agama dalam melaksanakan program pembangunan demi kesejahteraan rakyat.

“Sikap terbuka, menerima perbezaan pendapat dan menghormati kemajmukan, disertai ketaatan serta komitmen terhadap agama masing-masing adalah tanggungjawab setiap umat tanpa mengira agama,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *