Kerajaan akan terus bawa perubahan untuk kekalkan perpaduan

KOTA KINABALU: Kerajaan akan terus berusaha membawa perubahan dan perpaduan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum serta agama sekali gus merobohkan dasar yang boleh memecahbelahkan rakyat di negeri ini.

TIMBALAN Ketua Menteri Sabah, Datuk Christina Liew berucap di Majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018 di Padang Merdeka. – Foto KHAIRULL AZRY BIDIN

Ketua Menteri, Datuk Seri Mohd Shafie Apdal, berkata ikrar itu yang dijanjikan kerajaan Pakatan Harapan (PH) di peringkat Persekutuan dan Parti Warisan Sabah (WARISAN) bersama PKR, DAP dan Pertubuhan Pasok Momogun Kadazandusun Murut Bersatu (UPKO) di Sabah, sudah dipenuhi.

“Saya percaya bahawa seperti yang kita umumkan dalam Malaysia baharu, adalah penting bagi setiap rakyat Malaysia tanpa mengira kaum dan agama untuk meraikan perpaduan kita dalam kepelbagaian untuk membangun dan membawa negara ke tahap yang lebih tinggi.

“Ini kerana, bangsa dan agama terus digunakan oleh parti politik tertentu untuk memisahkan dan mewujudkan rasa takut dalam kalangan rakyat, sebelum ini,” katanya sempena majlis Rumah Terbuka Malaysia Krismas 2018 di Padang Merdeka di sini, malam ini.

Teks ucapannya dibacakan Timbalan Ketua Menteri, Datuk Christina Liew.

Majlis itu turut dihadiri Yang di-Pertua Negeri, Tun Juhar Mahiruddin dan isteri, Toh Puan Norlidah RM Jasni, sebagai tetamu kehormat.

Yang turut hadir Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr Wan Azizah Wan Ismail; Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Mohamaddin Ketapi dan menteri Kabinet negeri serta Persekutuan.

Mohd Shafie berkata, sebagai negara berbilang kaum, rakyat perlu berusaha membina keamanan dan keharmonian di negara ini.

“Sikap toleransi dalam cara hidup yang diamalkan banyak membantu mewujudkan persefahaman dalam kalangan rakyat pelbagai kaum dan agama di negeri ini.

“Ini menyebabkan usaha segelintir orang berkepentingan yang cuba untuk menimbulkan permusuhan di negeri ini, gagal.

“Ia kerana kebanyakan rakyat di negeri ini tahu unsur-unsur ekstrem itu hanya bertujuan memecahbelahkan masyarakat pelbagai kaum di negeri ini,” katanya.

Dalam pada itu, Mohd Shafie berkata adalah satu penghormatan untuk Sabah dipilih sekali lagi menjadi tuan rumah perayaan berkenaan.

“Sabah dengan gabungan warna-warni pelbagai kaum dan agama, adalah contoh terbaik rakyatnya hidup dalam harmoni walaupun mempunyai latar belakang agama serta kaum yang berbeza,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *