Gempa bumi Mindanao mungkin cetus tsunami kecil

MANILA: Gempa bumi berkekuatan 6.9 magnitud yang menggoncang pulau Mindanao di selatan Filipina hari ini mungkin mencetus gelombang tsunami kecil di beberapa bahagian pantai di negara itu, Indonesia dan Palau lapor Pusat Amaran Tsunami Pasifik.

Setakat ini tiada laporan kematian mahupun kecederaan diterima akibat gegaran itu.

Pusat Kajian Geologi Amerika Syarikat (USGS) berkata, gegaran itu dikesan 193 kilometer (km) di timur Filipina berhampiran bandar General Santos pada kedalaman 60 kilometer.

Terdahulu, Pusat Amaran Tsunami Pasifik berkata ‘gelombang tsunami berbahaya’ boleh berlaku dalam lingkungan 300 km dari pusat gempa di sepanjang pantai Indonesia dan Filipina.

Pusat itu kemudian menjelaskan bahawa gelombang tsunami dijangka berukuran kurang dari 0.3 meter di atas paras pasang surut bagi pantai Indonesia, Palau dan Filipina.

Tiada ancaman tsunami di Hawaii, Amerika Syarikat katanya.

USGS pada mulanya mencatatkan kekuatan gempa pada 7.2 magnitud tetapi kemudian diturunkan kepada 6.9. – Reuters

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *