40,000 hilang kediaman

JAKARTA: Jumlah mangsa tsunami yang kehilangan tempat tinggal meningkat kepada 40,000 orang manakala 7,000 lagi cedera.

Pandangan dari udara di kawasan yang rosak selepas tsunami melanda pantai di Selat Sunda.

Semalam, pihak berkuasa Indonesia juga menurunkan jumlah korban daripada 430 kepada 426 orang berikutan berlaku kekeliruan dalam pengiraan. Lebih 20 mangsa masih hilang selepas hampir seminggu bencana itu.

AFP melaporkan jurucakap agensi bencana kebangsaan Indonesia, Sutopo Purwo Nugroho berkata, 7,202 orang cedera, meningkat daripada 1,495 orang pada Khamis dengan 1,300 rumah di tepi pantai Pulau Jawa serta selatan Sumatera, musnah.

“Kami mencadangkan mereka yang tinggal berdekatan pantai dipindahkan.

Pandangan dari udara di kawasan yang rosak selepas tsunami melanda pantai di Selat Sunda.

“Namun ia pilihan yang sukar untuk mencari lokasi penempatan baru serta ramai yang enggan berpindah,” katanya.

Media Indonesia melaporkan, debu dan asap letusan gunung berapi Anak Krakatau melonjak sehingga 12 kilometer di udara semalam, menimbulkan kebimbangan ia akan sampai ke bandar raya utama Indonesia, termasuk Jakarta.

Kelmarin, pihak berkuasa menaikkan radius larangan daripada dua kilometer kepada lima kilometer dari gunung berapi itu.

Liputan 6 melaporkan, menurut Jabatan Meteorologi, Klimatologi, dan Geofisik (BMKG) Indonesia, wilayah dijangka terjejas hanya sekitar Serang hingga ke Cilegon di selatan Selat Sunda.

Menurut jurucakap jabatan itu, Lutfi Fitriano, ketika ini penduduk di Pandeglang, Serang dan Cilegon berterusan dihujani abu Anak Krakatau.

Pihak berkuasa juga menaikkan paras berjaga-jaga Anak Krakatau kepada tahap tiga iaitu bersiap sedia menghadapi kemungkinan.

Menurut BMKG melalui Twitter, ketinggian debu Gunung Anak Krakatau mencapai lebih 12 kilometer di permukaan laut dengan angin meniupnya ke arah barat daya.

Tsunami melanda Selat Sunda itu berlaku selepas sebahagian gunung Anak Krakatau runtuh ke dalam laut.

Gambar satelit oleh agensi angkasa Jepun menunjukkan dengan jelas dinding gunung berkenaan seluas kira-kira dua kilometer kini hilang. – Agensi

Pandangan dari udara di kawasan yang rosak selepas tsunami melanda pantai di Selat Sunda.

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *