Gunung Kinabalu merekah, tidak stabil

Struktur Gunung Kinabalu kini merekah dan tidak stabil selepas dilanda lebih 1,000 gegaran sejak digoncang gempa bumi kuat magnitud 5.9 pada 2015, mencetus pelbagai gangguan kepada kawasan sekitar, khususnya daerah Kota Belud.

Kira-kira 1,500 hektar atau 15 kilometer persegi lereng Gunung Kinabalu dilapor runtuh akibat gempa berlarutan, menyebabkan tanah dan batuan di lapisan atas serta lereng gunung yang sedia terjejas, menjadi amat rapuh serta longgar, ibarat menunggu masa untuk runtuh.

Kesan gegaran berlarutan membawa runtuhan mengandungi sisa tanah, pasir dan batu, selain bongkah batu, mineral serta pokok kayu ke sungai serta jaringan anak sungai di kawasan sekitar, menyebabkan daerah Kota Belud dilanda lebih 100 banjir sejak tiga tahun lalu.

Sungai terjejas
Sungai Kadamaian paling teruk terjejas akibat runtuhan terbabit, diikuti lapan lagi sungai di sekitar Gunung Kinabalu, termasuk Sungai Penataran, Sungai Mesilou, Sungai Tohubang, Sungai Kilambun, Sungai Wariu dan Sungai Mentaki.

Pengarah Pusat Kajian Bencana Alam, Universiti Malaysia Sabah (UMS), Prof Dr Felix Tongku, mengakui Gunung Kinabalu, khususnya kawasan cerun sangat tidak stabil dengan sedikit gegaran susulan walaupun berskala kecil, berisiko menyebabkan runtuhan.

“Keadaan ini cukup membimbangkan kerana gempa bumi sentiasa berlaku walaupun majoritinya tidak dirasai masyarakat setempat, khususnya di Ranau dan Kota Belud. Ia menyebabkan kejadian runtuhan di Gunung Kinabalu tidak akan berhenti.

“Lereng gunung yang runtuh sangat luas. Tak boleh dibayangkan berapa jumlah sebenar keluasannya dan ia mungkin tidak boleh pulih dalam masa terdekat, sekali gus memberi kesan kepada kehidupan manusia di kawasan sekitar khususnya penduduk Kota Belud,” katanya.

Gempa bumi pada 2015 menyebabkan 18 maut akibat dihempap runtuhan batu, iaitu empat malim gunung, dua pendaki tempatan, sembilan pendaki Singapura yang kebanyakannya murid sekolah serta masing-masing seorang pendaki China, Jepun serta Filipina.

Ditanya sejauh mana serius risiko runtuhan, Tongkul berkata, sesar atau patahan aktif di Gunung Kinabalu sentiasa bergerak hampir setiap hari antara 1 hingga 1.5 meter yang akan memberi kesan di kawasan cerun atau tanah tidak stabil sehingga berlaku tanah runtuh.

“Tanah dan batu yang tidak lagi mencengkam sejak kejadian 2015 yang diburukkan dengan gempa susulan hanya menunggu masa untuk jatuh ke kawasan lebih rendah khususnya Kota Belud. Bukan sahaja gempa kecil, hujan lebat di situ pun akan memberi kesan,” katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Meteorologi Malaysia (Metmalaysia), Alui Bahari, berkata 905 gempa susulan direkodkan di sekitar Gunung Kinabalu, khususnya di Ranau sejak 2015 yang bermagnitud lemah ke sederhana, iaitu dari kurang 5.0 hingga 5.9.

BH difahamkan, satu gempa berskala sederhana iaitu magnitud 5.2 direkod dalam kejadian paling terbaru yang menggegarkan Gunung Kinabalu pada 8 Mac lalu dan boleh dirasai di beberapa kawasan termasuk di bandar raya ini.

Ia dipercayai disusuli sekurang-kurangnya enam gempa susulan pada magnitud 3.1 hingga 4.0 yang direkodkan di Ranau dalam tempoh beberapa hari selepas itu.

“Punca gempa bumi disebabkan pergerakan Garis Sesar Mensaban yang terletak berhampiran Gunung Kinabalu,” kata Alui.

Gegaran demi gegaran diramal terus berlaku, terutama di sekitar Gunung Kinabalu, malah Metmalaysia mengesahkan banyak gegaran kecil bawah magnitud 2.0 dikesan, khususnya di Ranau, namun tidak direkodkan.

Sementara itu, United States Geological Survey (USGS) menyenaraikan lapan gempa bumi signifikan di Ranau bermula daripada magnitud 4.4 hingga 6.0 termasuk terbaru pada 8 Mac lalu, dalam tempoh tiga tahun sejak 5 Jun 2015.

Selain memberi kesan kepada struktur Gunung Kinabalu, sisa runtuhan akibat gempa sepanjang tiga tahun kebelakangan mengakibatkan kehidupan penduduk, sektor pertanian, perikanan dan pelancongan terjejas, selain mengubah keseimbangan alam khususnya aliran sungai. – Berita Harian Online

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *