Dua Lelaki Ditahan Curi Hasil Jualan Restoran Majikan

KOTA KINABALU, 27 Dis – Polis Kota Kinabalu menahan dua lelaki tempatan kerana disyaki mencuri hasil jualan sebuah restoran serta menjual minuman keras di restoran tempat mereka bekerja tanpa pengetahuan majikan pada 1 Nov lepas.

SEKADAR GAMBAR HIASAN

Ketua Polis Daerah Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata kedua-dua suspek berumur 25 dan 26 tahun itu ditangkap sepasukan polis dalam dua serbuan berasingan masing-masing di Sembulan dan di sebuah kompleks membeli belah di sini pada 25 Dis lepas.

Tangkapan itu dibuat selepas polis menerima laporan daripada seorang lelaki berumur 41 tahun iaitu penyelia restoran berkenaan berhubung perkara tersebut, katanya.

“Perbuatan jenayah yang dilakukan suspek menyebabkan restoran itu mengalami kerugian kira-kira RM 10,000,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini

Habibi berkata kedua-dua suspek yang direman sehingga 29 Dis bagi membantu siasatan kes itu turut mempunyai rekod jenayah lampau masing-masing pada 2010 dan 2013.

Kes disiasat mengikut Seksyen 381 Kanun Keseksaan yang memperuntukan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika disabitkan kesalahan, katanya.

Sementara itu, dalam kes berasingan, Habibi berkata, polis menahan seorang lelaki kerana disyaki mencuri pelbagai barangan berharga termasuk barangan elektronik dan dokumen penting di sebuah apartment dekat Jalan Sulaman pada 19 Dis lepas.

Habibi berkata suspek berusia 47 tahun itu ditangkap di Likas pada jam 6 petang, semalam, dan dalam serbuan itu, polis turut merampas sebuah dompet berwarna hitam; dua keping surat gadai atas nama suspek; satu kad gadai kedai emas atas nombor kad pengenalan suspek; dan satu keping kad debit.

“Tangkapan itu dibuat susulan laporan polis seorang lelaki berumur 23 tahun mengenai kejadian pecah rumah apabila mendapat pintu gelongsor kaca balkoni terbuka ketika beliau serta rakan-rakannya sekerjanya pulang dari kerja.

“Pengadu bersama rakan serumah juga melaporkan kehilangan sebanyak 10 jenis barang berharga termasuk barangan elektronik dan dokumen penting,” katanya, dan menambah hasil siasatan lanjut mendapati suspek mempunyai empat rekod kesalahan lampau pada 2007; 2014; dan 2015.

Kes disiasat mengikut Seksyen 380 Kanun Keseksaan kerana mencuri, katanya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *