Tiada tekanan sertai parti lain – Masidi

KOTA KINABALU: Semua Ahli Parlimen dan Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bebas yang meninggalkan UMNO baru-baru ini tidak mendapat tekanan untuk menyertai parti lain serta tiada keperluan segera untuk berbuat demikian.

Perkara itu ditegaskan ADUN Karanaan yang juga bekas Setiausaha Badan Perhubungan UMNO Sabah, Datuk Masidi Manjun, ketika ditanya berhubung status terkini beliau serta semua bekas wakil rakyat UMNO Sabah berkenaan.

“Kami tidak mempunyai parti dan masih (wakil rakyat) Bebas. Tidak ada keperluan segera atau tekanan untuk menyertai parti lain.

“Ahli Gabungan Bersatu Sabah (GBS) selalu mengadakan pertemuan dari semasa ke semasa,” katanya ketika dihubungi NSTP hari ini.

Beliau adalah antara sembilan ADUN dan lima Ahli Parlimen yang mengumumkan keluar UMNO selepas mendakwa hilang keyakinan terhadap parti dan memilih untuk menjadi wakil rakyat Bebas, baru-baru ini.

Masidi berkata demikian sebagai mengulas kenyataan Timbalan Pengerusi GBS, Datuk Dr Jeffrey Kitingan, semalam yang menyatakan satu mesyuarat akan diadakan awal tahun depan bagi membincangkan status anggota gabungan yang tidak mempunyai parti.

Jeffrey yang juga Presiden Parti Solidariti Tanah Airku (Star) berkata, terdapat keperluan untuk mengetahui parti mana yang akan dipilih oleh wakil rakyat Bebas berkenaan sebagai platform politik mereka, selain sama ada mereka memohon untuk menjadi ahli Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU).

GBS adalah gabungan terdiri empat parti iaitu Parti Bersatu Sabah (PBS), UMNO Sabah, Parti Solidariti Tanah Airku (Star) dan Parti Bersatu Rakyat Sabah (PBRS).

Baru-baru ini UMNO Sabah lumpuh selepas kebanyakan ahli termasuk lima Ahli Parlimen dan sembilan ADUN meninggalkan parti berkenaan, disusuli beberapa hari kemudian viral di laman sosial menunjukkan gambar beberapa ADUN terbabit mengedar borang BERSATU, selain ada usaha untuk menubuhkan parti berkenaan di negeri ini. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *