Saat ngeri konsert dilanda tsunami dirakam

JAKARTA: Saat ngeri tsunami, yang difahamkan berpunca daripada letusan gunung berapi Krakatau melanda ketika orang ramai asyik menyaksikan konsert semalam menjadi viral di media sosial.

RAKAMAN video menunjukkan kumpulan pop Seventeen dilanda ombak tsunami ketika mengadakan konsert di tepi pantai di Pusat Peranginan Tanjung Lesung di Banten.

Adegan mengejutkan itu merakamkan tragedi di mana ombak akibat tsunami menghanyutkan kumpulan penyanyi dan penonton di konsert pop itu.

Rakaman yang dimuat naik dalam media sosial menunjukkan sebuah kumpulan muzik pop, Seventeen, melakukan persembahan di bawah khemah di tepi pantai di Pusat Peranginan Tanjung Lesung di Banten.

Ketika itu, kira-kira 200 kakitangan syarikat elektrik kerajaan Perusahaan Listrik Negara (PLN) dan ahli keluarga mereka berkumpulan untuk majlis akhir tahun.

Ketika puluhan penonton duduk mendengar muzik di meja masing-masing, ombak melanda secara tiba-tiba sehingga mengakibatkan kumpulan pemuzik dan peralatan mereka tercampak ke arah penonton.

Menurut kenyataan kumpulan itu, pemain bass mereka dan pengurus jelajah ditemui mati sementara tiga ahli kumpulan lain dan isteri salah seorang daripada mereka masih hilang.

“Air pasang naik dan menarik semua orang di lokasi, malangnya apabila arus surut ahli kami gagal menyelamatkan diri kerana gagal berpaut kepada sebarang objek untuk menyelamatkan diri,” katanya. – Agensi/Evening Standard

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *