Warga Asing Antara 70 Individu Dicekup Kerana Dadah

KOTA KINABALU, 22 Dis – Polis Kota Kinabalu menahan 70 individu dipercayai terlibat dengan aktiviti penyalahgunaan dadah di sekitar Kota Kinabalu sepanjang tempoh operasi yang dijalankan selama 11 hari bermula pada 8 Dis lalu.

Seramai 52 individu didapati positif mengambil dadah jenis syabu sepanjang tiga hari Op Sarang Khas dijalankan sekitar Kota Kinabalu. – Gambar Fail

Ketua Polis Bandaraya Kota Kinabalu ACP Habibi Majinji berkata daripada jumlah itu, 54 orang merupakan warga tempatan manakala 16 orang lagi warga asing yang berumur antara 17 hingga 48 tahun.

“Hasil daripada tangkapan itu, polis turut merampas 17.86 gram dadah jenis syabu dan 19.40 gram ganja yang dianggarkan bernilai RM3,455,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Sementara itu, seramai 15 individu ditahan dalam operasi cegah jenayah yang dijalankan di tujuh lokasi di daerah ini yang dijalankan sejak jam 5 petang hingga 2 pagi Sabtu.

Habibi berkata mereka yang berumur antara 17 hingga 54 tahun itu termasuk lima pendatang asing tanpa izin terlibat dengan pelbagai aktiviti jenayah.

Beliau berkata operasi itu dibantu oleh agensi yang berkaitan antaranya Jabatan Pendaftaran Negara, Jabatan Imigresen, Jabatan Sukarelawan Malaysia (Rela) dan Dewan Bandaraya Kota Kinabalu (DBKK).

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *