Petani maut kereta terhumban ke anak sungai

Keadaan Perodua Viva yang terhumban ke dalam anak sungai di Jalan Kampung Rosob di Kampung Dandun di Pitas, malam tadi. – Ihsan Polis

PITAS: Seorang lelaki maut apabila Perodua Viva dipandunya dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas dan terhumban ke dalam anak sungai di Jalan Kampung Rosob di Kampung Dandun di sini, malam tadi.

Dalam nahas kira-kira jam 11.10 malam itu, Jalmen Atang, 34, yang bekerja sebagai petani meninggal dunia di lokasi kejadian akibat cedera parah pada anggota badan.

Ketua Polis Daerah Kota Marudu, Superintendan Mohd Izaan Abdullah, berkata pihaknya menerima panggilan berhubung kejadian itu pada jam 8.38 pagi tadi daripada orang awam mengenai penemuan kenderaan mangsa.

Katanya, siasatan awal mendapati mangsa memandu kenderaan dari Kampung Bilangau Kecil, Pitas menuju ke Jalan Kampung Rosob, manakala lokasi kejadian gelap selain jalan tidak berturap dan berbatu.

“Sebaik tiba di lokasi kejadian, mangsa dipercayai hilang kawalan dan terjatuh ke dalam gaung sedalam 20 meter sebelum terjunam ke anak sungai.

“Menurut pengadu, penduduk kampung yang tinggal di lokasi berhampiran mendengar bunyi dentuman kuat pada waktu kejadian namun kenderaan mangsa hanya ditemui pagi ini,” katanya.

Mohd Izaan berkata, polis dan bomba hanya menemui mangsa pada pagi tadi sebaik tiba di lokasi kejadian dan mangsa disahkan meninggal dunia oleh pegawai perubatan.

“Waris mangsa yang tinggal berhampiran juga sudah dihubungi bagi proses pengecaman dan kes disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987,” katanya. – Berita Harian

Keadaan Perodua Viva yang terhumban ke dalam anak sungai di Jalan Kampung Rosob di Kampung Dandun di Pitas, malam tadi. – Ihsan Polis
Keadaan Perodua Viva yang terhumban ke dalam anak sungai di Jalan Kampung Rosob di Kampung Dandun di Pitas, malam tadi. – Ihsan Polis
Keadaan Perodua Viva yang terhumban ke dalam anak sungai di Jalan Kampung Rosob di Kampung Dandun di Pitas, malam tadi. – Ihsan Polis

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *