Polis Sabah lupus barang kes judi siber bernilai lebih RM1.1 juta

KOTA KINABALU, 19 Dis – Polis Sabah melupuskan sebanyak 6,185 barangan elektronik berkaitan judi siber yang dianggarkan bernilai lebih RM1.1 juta di Stor Barang Kes Berpusat, Ibu Pejabat Polis Kontinjen Sabah di sini hari ini.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass melakukan gimik pelupusan pada sesi pelupusan barangan berkaitan judi siber bagi fasa kedua di Stor Simpanan Barang Kes Berpusat IPK Sabah di Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass berkata semua peralatan yang merupakan komponen komputer itu melibatkan 141 kertas siasatan kes judi siber kendalian Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kota Kinabalu sejak 2002 hingga 2015.

“Kesemua barang kes ini perlu dilupuskan kerana ia tidak digunakan lagi dan pada masa tindakan kes telah diselesaikan sepenuhnya.

Timbalan Pesuruhjaya Polis Sabah, Datuk Zaini Jass (dua kiri) bersama pegawainya melihat sebahagian daripada komponen barang elektronik yang berkaitan dengan judi siber pada sesi pelupusan barangan berkaitan judi siber bagi fasa kedua di Stor Simpanan Barang Kes Berpusat IPK Sabah di Kepayan. Gambar SNT/Mohd Adam Arinin

“Pihak IPD Kota Kinabalu mengambil inisiatif melupuskan barangan tersebut menerusi kaedah E-waste sejajar dengan prosedur seliaan Jabatan Alam Sekitar (JAS),” katanya pada Majlis Pelupusan Barang-Barang Kes itu di sini hari ini.

Zaini berkata syarikat yang dilantik akan bertanggungjawab menguruskan penghantaran barang-barang berkenaan untuk dilupuskan di pusat pelupusan di Pulau Pinang.

Beliau berkata pelupusan barang kes melalui kaedah berkenaan adalah kali kedua dilakukan pada tahun ini selepas fasa pertamanya dilaksanakan pada 18 Okt lepas yang melibatkan sebanyak 1,380 barang kes berkaitan judi siber.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *