Polis Marin rampas 838 kotak arak seludup di Sandakan

Polis Marin rampas 838 kotak arak seludup di Sandakan – GAMBAR PPM

SANDAKAN, 19 Dis – Pasukan Polis Marin (PPM) Sandakan menyita 838 kotak mengandungi minuman keras pelbagai jenama dipercayai diseludup masuk ke daerah ini dalam serbuan ke atas sebuah premis di Taman Mawar, Batu 5 di sini semalam.

Dalam satu kenyataan hari ini, Komander PPM Wilayah 4 Sabah ACP Mohamad Pajeri Ali berkata serbuan yang dilakukan menerusi Ops Landai pada 4 petang semalam mengesan sebuah premis dipercayai dijadikan tempat menyimpan minuman keras seludup.

“Semasa operasi itu, pasukan PPM Sandakan memerhati seorang lelaki sedang membuka pagar besi stor yang disyaki tempat penyimpanan minuman keras namun apabila anggota PPM memperkenalkan diri sebagai polis, lelaki tersebut melarikan diri ke arah kawasan pasar berdekatan dan gagal dikesan.

“Pemeriksaan lanjut ke atas stor berkenaan menemukan 838 kotak minuman keras terdiri daripada 557 kotak minuman botol dan 281 kotak minuman tin pelbagai jenama dengan nilai anggaran RM103,233,” katanya.

Menurutnya kesemua barang rampasan kemudian dibawa ke Markas Operasi PPM Sandakan untuk tindakan lanjut dan kes disiasat menurut Seksyen 135 (1)(e) Akta Kastam 1967 yang memperuntukkan hukuman denda tidak lebih 10 kali ganda amaun duti kastam.

Beliau seterusnya meminta masyarakat agar terus menyalurkan maklumat kepada pihak berkuasa bagi membantu membendung aktiviti penyeludupan yang merugikan kerajaan dari segi kutipan cukai.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *