15 ketua Cabang PKR Sabah sokong pelantikan Liew

Datuk Christina Liew (kanan) bersama Awang Husaini Sahari pada sidang media di Kota Kinabalu, hari ini. – Foto Edmund Samunting

KOTA KINABALU: Seramai 15 ketua Cabang PKR Sabah menyokong penuh pelantikan Datuk Christina Liew sebagai Pengerusi Majlis Pimpinan Negeri (MPN) Sabah.

Ketua Cabang PKR Putatan, Awang Husaini Sahari, berkata semua 15 ketua Cabang itu juga menyatakan sokongan tidak berbelah bahagi atas keputusan Presiden PKR, Datuk Seri Anwar Ibrahim, yang memilih Liew untuk mengetuai parti itu di negeri ini.

Ahli Parlimen Putatan itu turut berharap semua ketua Cabang menghormati keputusan yang dibuat Presiden parti.

“Apa yang mereka lakukan ini (ketua Cabang menentang pelantikan Liew), seolah-olah mencabar keputusan Presiden sedangkan pelantikan Pengerusi MPN negeri adalah berdasarkan majoriti dan Perlembagaan parti.

“Kami berharap semua ketua Cabang menghormati keputusan ini dan bergerak ke depan untuk mengurus parti dan mendepani cabaran politik yang semakin tidak menentu ketika ini,” katanya yang juga jurucakap bagi 15 ketua Cabang terbabit dalam sidang media di sini, hari ini.

Awang Husaini mengulas mengenai pelantikan Liew sebagai Pengerusi MPN Sabah yang menjadi pertikaian dalam kalangan ketua Cabang lain di negeri ini.

Majlis itu turut dihadiri Liew yang juga Timbalan Ketua Menteri Sabah dan Ketua Cabang PKR Kota Kinabalu serta 13 ketua Cabang dari negeri ini.

Mengenai keputusan Nurul Izzah Anwar meletak jawatan sebagai Naib Presiden PKR, Awang Husaini berkata, PKR Sabah berharap Ahli Parlimen Permatang Pauh itu mempertimbangkan semula keputusannya.

Sementara itu, Liew berkata, beliau turut menerima pesanan daripada Nurul Izzah menerusi WhatsApp malam tadi yang meminta beliau menjaga PKR Sabah dengan baik. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *