Kanak-kanak bukan Islam antara sertai khatan perdana ATB2

TAWAU, 18 Dis – Seorang kanak-kanak bukan Islam antara 105 yang diraikan dalam program khatan perdana anjuran Markas Angkatan Tugas Bersama (ATB2) dan Masjid Al-Kauthar, di sini hari ini.

Antara kanak-kanak yang mengikuti program Khatan Perdana di Masjid Al-Khautar Tawaudi sini hari ini. Foto Ehsan Pembaca

Herry Maxsons Herman, 11, murid Sekolah Jenis Kebangsaan Cina Kuok Ming itu berbaris bersama kanak-kanak lain sebelum dimandikan dengan pancutan air daripada jentera bomba oleh pasukan Bomba dan Penyelamat Tawau di perkarangan masjid.

Ibunya, Arina Ak Wan yang berketurunan Iban, Dayak dan Murut berkata anaknya secara rela hati mahu menyertai program tersebut kerana melihat 98 peratus rakan-rakan beragama Islam di sekolahnya sudah berkhatan.

“Lagipun bersunat ini menjadi amalan kaum lelaki dalam keluarga kami seperti bapa dan adik lelaki saya termasuk suami kerana menyedari kepentingan berkhatan.

“Selepas ini, dua orang adik Herry yang berusia 10 dan empat  tahun pun akan bersunat,” katanya ketika ditemui pada program itu dan disambut oleh anaknya Herry yang berkata: “Saya tidak takut.”

Sementara itu, Komander ATB2 Brig Jen Datuk Zarondin Md Amin berkata pihaknya menerima permohonan di luar jangka dengan lebih 200 penyertaan tetapi terpaksa ditapis atas faktor kekangan peralatan.

Antara kanak-kanak yang mengikuti program Khatan Perdana di Masjid Al-Khautar Tawaudi sini hari ini. Foto Ehsan Pembaca

“Melihat pada kejayaan penganjuran pertama kali ini bersama pihak masjid, Pejabat Kesihatan Tawau serta Balai Bomba dan Penyelamat, program ini akan dijadikan acara tahunan,” katanya menambah program adalah antara aktiviti murni ATB2 yang dilaksanakan secara percuma  untuk rakyat.

Pengerusi Masjid Al-Kauthar, Khalid Tahir pula berkata pada masa akan datang pihaknya akan meningkatkan penyediaan bagi membolehkan sehingga 250 kanak-kanak berusia lima tahun ke atas menyertainya.

“Kalau boleh kita buat program ini setahun dua kali, kalau tidak sekali dan buat pada cuti sekolah pada bulan Jun,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *