Mulai Tahun Depan, Perokok Hanya Dibenar Merokok 3 Meter Dari Kedai Makan – KKM

KUALA LUMPUR: Perokok masih boleh merokok di tempat awam apabila larangan merokok di kedai makan dan restoran terbuka berkuat kuasa tahun depan.

Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye, berkata bagaimanapun larangan merokok itu menyatakan perokok hanya dibenarkan merokok di kawasan tiga meter atau 10 kaki dari kedai makan dan restoran terbuka.

Katanya, peraturan baharu itu juga menetapkan pengusaha dan pemilik kedai makan dan restoran perlu menaikkan tanda larangan merokok selain tidak menyediakan kemudahan untuk merokok seperti bilik khas merokok dan bekas membuang puntung rokok.

“Kita faham juga mengenai hak perokok ini , jadi kita benarkan mereka merokok 10 kaki (tiga meter) dari premis berkenaan,” katanya dalam sidang media di lobi Parlimen di sini, hari ini.

Terdahulu beliau menjawab soalan Datuk Ong Chong Swen di Dewan Negara yang ingin mengetahui tindakan terhadap perokok dan pengusaha restoran dan kedai makan yang enggan memberi kerjasama apabila larangan itu dikuatkuasakan.

Dr Boon Chye berkata, pada sesi taklimat dengan persatuan dan pengusaha kedai makan dan restoran mengenai peraturan larangan merokok, mereka membangkitkan isu pelanggaran peraturan itu oleh perokok yang degil.

Katanya, kementerian mengambil maklum isu itu dan memberi jaminan pengusaha kedai makan dan restoran tidak akan dikenakan tindakan atas kesalahan perokok yang degil.

Justeru, katanya pengusaha kedai makan dan restoran boleh menghubungi talian ‘hotline’ 03-388942530 yang beroperasi 24 jam untuk membuat aduan.

Mengulas lanjut, katanya kementerian mempunyai 5,008 pegawai kesihatan persekitaran yang boleh menguatkuasakan peraturan larangan merokok itu selain bantuan pegawai kesihatan pihak berkuasa tempatan (PBT).

Katanya, untuk enam bulan pertama peraturan larangan itu dilaksanakan, kementerian akan memberi amaran kepada perokok dan pengusaha premis perniagaan kedai makan yang ingkar larangan itu.

“Kita mahu peraturan larangan ini dilaksanakan bagi mendidik masyarakat berhenti merokok.

“Namun, jika ada perokok yang berdegil dan pengusaha kedai makan dan restoran yang masih mengulangi kesalahan maka mereka akan terus di saman,” katanya.

Peraturan larangan merokok itu diwarta mengikut Peraturan 11, Peraturan Kawalan Hasil Tembakau 2004 bakal dikuatkuasakan Januari tahun depan yang mana mereka melanggarnya boleh di denda tidak melebihi RM10,000 atau penjara tidak melebihi dua tahun.

Bagi pengusaha kedai makan dan restoran yang gagal mematuhi peraturan itu boleh didenda melebihi RM3,000 atau penjara tidak melebihi enam bulan.

Dr Boon Chye berkata sehingga kini 63 siri taklimat dan penerangan berkenaan pewartaan larangan merokok sudah dijalankan dengan penyertaan 3,142 orang.

Katanya, sebanyak 108 kedai makan dan restoran sudah pun mengisytiharkan premis mereka bebas asap rokok.

“Kementerian Kesihatan menghargai sokongan dan kerjasama semua pihak dalam pelaksanaan pewartaan ini demi menjaga kesihatan rakyat keseluruhannya,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *