Azizulhasni raih perak di London

AZIZULHASNI (kiri) menamatkan saingan pada kedudukan kedua kepada pencabar dari Belanda, Matthijs Buchli.

KUALA LUMPUR: Azizulhasni Awang terus menggegar apabila meraih perak dalam acara keirin pada siri Piala Dunia di London, pagi tadi.

The Pocketrocketman menamatkan saingan pada kedudukan kedua kepada pencabar dari Belanda, Matthijs Buchli, manakala Theo Bos dari BEAT Cycling Club (Belanda) di tempat ketiga pada saingan di Velodrom Lee Valley VeloPark.

“Mengambil semangat Harimau Malaysia di Piala AFF, saya berjaya meraih perak dalam keirin yang disertai 47 negara.

“Saya gembira kerana ia adalah satu peningkatan selepas meraih gangsa di siri sebelumnya di Berlin. Sesungguhnya ini ada indikasi yang saya berada di landasan yang betul dalam misi melayakkan diri ke Olimpik 2020,” kata pelumba kelahiran Terengganu itu.

Azizulhasni adalah antara harapan utama negara untuk mendapatkan emas pertama Malaysia di Tokyo, selepas sekadar meraih gangsa dalam acara keirin di Olimpik Rio 2016.

“Saya ingin mengucapkan terima kasih kepada penyokong dan penaja yang sentiasa di belakang saya,” tambahnya.

Terdahulu, pada saingan pecut berpasukan Malaysia berada di kedudukan kesembilan, menerusi Azizulhasni yang bergandingan bersama Shah Firdaus Sahrom dan Mohd Fadhil Zonis dengan masa 44.710 saat. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *