Mangsa culik di Semporna berjaya lepaskan diri

SEMPORNA, 15 Dis – Seorang daripada dua nelayan warga Indonesia yang diculik di Pulau Bodgaya di sini, pada 11 Sept lepas, berjaya melarikan diri daripada sindiket penculikan untuk wang tebusan dan kembali bertemu keluarga.

PESURUHJAYA Polis Sabah, Datuk Omar Mammah. – NSTP/Malai Rosmah Tuah

Mengesahkan perkara itu, Pesuruhjaya Polis Sabah Datuk Omar Mammah berkata menerusi gambar diperoleh, mangsa selamat bertemu keluarganya namun lokasi pertemuan tersebut tidak diketahui.

“Sama ada mereka (mangsa dan keluarganya) berjumpa di Manila atau Jakarta (tidak dapat dipastikan),  tetapi yang pasti seorang mangsa (culik) dapat menyelamatkan diri,” katanya ketika ditemui pemberita pada majlis Perhimpunan Maulidur Rasul peringkat daerah di sini, hari ini.

Majlis itu dirasmikan Timbalan Ketua Menteri Sabah merangkap Menteri Kerajaan Tempatan dan Perumahan Sabah, Datuk Jaujan Sambakong.

Memetik laporan Manila Bulletin, mangsa Usman Yusuf, 35, berjaya melarikan diri daripada penculiknya di Sitip Tubig Bual, Barangay Bual di perairan Sulu pada 6 Dis lepas, sebelum diselamatkan sepasukan tentera.

Pada 11 Sept lepas, dua nelayan, Usman dan rakannya Samsul Saguni, 40  diculik lelaki bersenjata ketika menangkap ikan di Pulau Bodgaya pada 12.30 tengah malam.

Sementara itu, Omar berkata pihaknya mengenal pasti suspek yang terlibat dalam kejadian culik tiga nelayan di Pegasus Reef, Kinabatangan baru-baru ini.

Beliau, bagaimanapun berkata perkara itu tidak dapat didedahkan lanjut kerana dikhuatiri boleh mengganggu siasatan.

Katanya tiada perkembangan terkini mengenai keadaan suspek serta tiada panggilan baru diterima keluarga daripada suspek mahupun mangsa.

Baru-baru ini, Ketua Menteri Sabah Datuk Seri Mohd Shafie Apdal mahu kerajaan pusat bertindak agresif dalam menangani masalah rompakan dan penculikan untuk wang tebusan di perairan Sabah.

Beliau berkata penjenayah rentas sempadan itu perlu diberi pengajaran sewajarnya.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *