Kerajaan sentiasa bantu perkasa usahawan wanita di Sabah

KOTA KINABALU, 15 Dis – Timbalan Ketua Menteri Datuk Seri Wilfred Madius Tangau berkata kerajaan sentiasa berusaha untuk membantu memperkasakan usahawan wanita di negeri ini selaras dengan perkembangan teknologi dunia masa kini.

Sehubungan itu, Madius yang juga Menteri Perdagangan dan Perindustrian berkata kementeriannya sangat mengalu-alukan kerjasama pelbagai pihak termasuk Majlis Penasihat Wanita Sabah (MPWS) untuk menjayakan pelbagai program keusahawanan khususnya untuk golongan wanita bagi merealisasikan usaha berkenaan.

“Sebelum ini, kementerian telah menaja peserta ‘Creating Millionaires Among Young Women Entrepreneurs’ (CreaM@YWE) untuk bersama-sama memperagakan dan menjual produk mereka di beberapa ekspo termasuk di Pameran Halal Borneo Antarabangsa di Indonesia dalam usaha melonjakkan usahawan wanita di negeri ini sehingga ke peringkat antarabangsa.

“Selain itu, kementerian juga akan memberi pertimbangan kepada mereka yang layak untuk menerima geran yang tertentu untuk mengembangkan lagi produk dan rantaian niaga usahawan wanita berkenaan,” katanya.

Beliau berkata demikian dalam teks ucapannya yang dibacakan oleh Pembantu Menteri Perdagangan dan Perindustrian, Ben Chong pada Majlis Perasmian Graduasi CreaM@YWE di sini hari ini.

Madius berkata program CreaM@YWE perlu diteruskan di masa-masa akan datang kerana ia merupakan platform untuk mewujudkan kumpulan usahawan wanita muda yang berjaya di negeri ini.

“Kita perlu terus memastikan para wanita sentiasa bersiap sedia melengkapkan diri bagi menempuhi alam keusahawanan yang kini semakin pesat membangun selaras dengan perkembangan teknologi dunia,” katanya.

Pada majlis itu, seramai 40 usahawan wanita menerima sijil CreaM@YWE iaitu satu program yang bertujuan melahirkan jutawan dalam kalangan usahawan wanita di negeri ini.

Program yang dilancarkan pada 23 Sept lepas itu memfokuskan terhadap usahawan wanita berusia antara 18 dan 35 tahun serta mempunyai perniagaan sendiri, selain berpotensi besar untuk berjaya dalam bidang perniagaan.

– BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *