500 termasuk bekas ahli UMNO sertai WARISAN

SANDAKAN: Kira-kira 500 orang daripada beberapa parti politik termasuk UMNO daripada 13 cawangan di Elopura dan Tanjung Papat menyertai Parti Warisan Sabah (WARISAN), hari ini.

Gulam (empat dari kiri) bersama sebahagian daripada ahli beberapa parti politik yang menyertai WARISAN, di Kampung Melayu Bumiputera, Sim-Sim, Sandakan. – NSTP/Poliana Ronnie Sidom

Mereka menyerahkan borang keahlian kepada Timbalan Ketua Bahagian WARISAN Sandakan, Datu Gulam Datu Hiya dalam majlis di Kampung Melayu Bumiputera, Sim-Sim.

Borang daripada cawangan Tanjung Papat diserahkan oleh bekas pemimpin DAP kawasan berkenaan, Tahir Esin, manakala daripada Elopura diwakili bekas pemimpin UMNO, Osman Ibrahim.

Tahir berkata, mereka mengambil keputusan untuk menyertai WARISAN kerana yakin dengan matlamat perjuangan parti itu.

Katanya, sudah tiba masa untuk rakyat negeri ini menyokong parti tempatan seperti WARISAN yang menjadi parti pemerintah.

“Inilah masanya kita sokong parti tempatan yang jadi pemerintah. Saya harap ahli tidak lari ke parti lain, sebaliknya kita mesti berganding bahu dan beri sokongan padu terhadap parti ini,” katanya.

Sebelum itu, Gulam berkata, mereka berharap kemasukan beramai-ramai ahli baharu itu akan mengukuhkan parti WARISAN khususnya di Parlimen Sandakan.

“Kita mesti jaga baik-baik parti dengan mengambil kira sokongan kuat yang rakyat berikan dan berusaha tunaikan segala janji kita untuk bantu rakyat.

“Parti ini adalah platform terbaik untuk rakyat di Sabah. Sesiapa yang cuba rosakkan parti, harus diambil tindakan tegas,” katanya. – Berita Harian

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *