Kami Tinggalkan UMNO Untuk Pertumbuhan Dan Pembangunan Sabah – Salleh

KOTA KINABALU –  Bekas Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak berkata beliau dan rakan seperjuangan hari ini mengambil keputusan untuk meninggalkan UMNO bagi membolehkan mereka dan kerajaan negeri dan persekutuan pada masa ini untuk menumpukan pertumbuhan dan pembangunan Sabah di masa hadapan.

Salleh yang juga bekas timbalan pengerusi badan perhubungan UMNO Sabah dan bendahari UMNO berkata untuk kepentingan pertumbuhan dan pembangunan berterusan di negeri ini, Sabah perlu membina hubungan yang kukuh dengan Kerajaan Persekutuan.

“Ini adalah keutamaan kerana banyak perlu dibuat dan dengan ketidaktentuan dalam ekonomi dunia, fokus menjadi lebih penting,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Beliau berkata demikian ketika mengulas pengumuman Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Sabah Datuk Seri Hajiji Noor yang mengisytiharkan peletakan jawatannya daripada UMNO bersama kesemua jawatankuasa perhubungan dan hampir kesemua ketua bahagian.

Menurut Salleh kebanyakan mereka menyertai UMNO sewaktu ia mula datang ke Sabah dalam tahun 1994 supaya negeri ini tidak terasing dari Putrajaya dan ketinggalan sementara negeri-negeri lain melangkah ke depan dan membangun.

Bagaimanapun, beliau berkata Pilihan Raya Umum ke-14, Mei lepas telah mengubah keseluruhan landskap politik Malaysia apabila Barisan Nasional yang diterajui UMNO tidak lagi menjadi Kerajaan Persekutuan dan UMNO Sabah tidak lagi boleh mempengaruhi Putrajaya seperti dahulu.

“Mengambil kira realiti politik baharu, saya dan rakan seperjuangan mengambil keputusan meninggalkan UMNO supaya kami boleh menumpukan kepada masa hadapan Sabah dan memastikan pertumbuhan dan pembangunan Sabah,” katanya.

— BERNAMA

Leave a Reply

Your email address will not be published. Required fields are marked *